Teknologi merencana kebejatan perpaduan?

Oleh : Prof. Madya Khairul Azami Sidek.

Saban tahun kita memperingati dan meraikan hari terbentuknya negara ini. Tanah tumpah darah kita yang menjadi asal mulanya peradaban bangsa Malaysia.

Bangsa yang dilahirkan atas kemajkmukan kaumnya, keunikan budayanya dan kepelbagaian bahasanya. Kelangsungan negara kita telah didirikan atas dasar yang lebih mengutamakan persamaan dan menghormati perbezaan.

Naratif ini terserlah ketika tahun-tahun awal kemerdekaan negara atas matlamat kesatuan. Bergerak ke hadapan, mendepani cabaran dan merintangi halangan menjadi jatidiri negara ini.

Peribahasa Melayu seperti “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” dan “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” serta slogan seperti “muafakat membawa berkat” adalah antara initipati penting dalam formula perpaduan.

Formula tunjang yang membentuk asas kenegaraan saksama. Konsep yang menekankan semangat cintakan tanah air yang amat didambakan untuk maju ke hadapan merentasi dugaan dan menyantuni kebersamaan.

Namun, adakah naratif ini masih lagi teguh dalam jiwa bangsa rakyat Malaysia dengan perubahan zaman yang agak agresif dan mendadak sejak akhir-akhir ini dengan ledakan demi ledakan teknologi yang mengganggu (distruptive technologies) seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence), blok rantai (blockchain), pengkomputeran awan (cloud computing), robotik, dron dan sebagainya?

Malahan, kemajuan dalam bidang sains dan kejuruteraan komputer mencorak masa depan komunikasi dunia dengan terhasilnya platform-platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram, Instagram, TikTok dan sebagainya.

Teknologi-teknologi ini telah merubah cara kita berfikir dan bertindak. Sedar atau tidak, ia sesuatu yang sudah menjadi sebahagian daripada keperluan dalam kehidupan seharian. Teknologi yang bukan sahaja merentasi sempadan dan merungkai banyak persoalan tetapi pada masa yang sama, menambah kecelaruan dan juga kekusutan.

Peperangan bersenjata yang tidak berkesudahan di beberapa negara adalah manifestasi kepada peranan teknologi dalam kebejatan nilai kemanusiaan. Perang yang bermatlamatkan kemenangan oleh pihak tertentu, sebenarnya banyak merugikan kesejagatan dan keamanan bersama.

Dalam pada masa yang sama, peperangan juga tidak terhad menggunakan kaedah persenjataan. Malahan lebih galak dan mendominasi dalam bentuk peperangan digital melalui penjajahan minda yang bertujuan menyebarkan informasi untuk mempengaruhi pandangan awam, mengikis kepercayaan, merosakkan reputasi, atau mengganggu kestabilan sosial dan politik, termasuk dalam bentuk polarisasi masyarakat, penyebaran ideologi ekstrem, atau campur tangan dalam proses tertentu dalam kehidupan seharian.

Ini jelas apabila teknologi seperti aplikasi telefon bimbit menjadi sahabat sejati kita hampir setiap hari dan masa, sama ada untuk tujuan rasmi atau pun tidak.

Ketagihan kita kepadanya umpama alat penenang (pacifier) yang diperlukan oleh sesetengah bayi apabila menangis dan merengek. Keadaan ini telah menyebabkan berlaku perubahan sifat dan sikap seseorang terhadap sesuatu.

Sekiranya tidak dipandu, seseorang akan mengekspresinya dalam keadaan yang tidak terkawal seperti mudah marah, tidak tahan sabar dan selalu dalam keadaan resah gelisah.

Ini adalah natijah kepada perwatakan yang dibentuk di mana seseorang boleh menjadi bimbang akan ketinggalan sesuatu berita dan perkara atau disebut sebagai Fear of Missing Out (FOMO) atau lebih parah lagi kepada peringkat kemurungan.  Inilah yang sering dilaporkan di dada-ada akhbar dan makalah ilmiah.

Walau bagaimanapun, kebaikan teknologi juga tidak boleh dinafikan. Keupayaannya menghubungkan manusia tidak kira jarak, usia dan masa adalah satu medium yang terbaik untuk menyuburkan tali silaturrahim.

Dalam Al-Quran, Surah Al-Hujarat, ayat 13, bahawa Allah menciptakan manusia dalam kepelbagaian suku dan bangsa agar mereka saling mengenali antara satu sama lain atau dipanggil lita’arafu dalam bahasa Arab.

Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal”.

Lebih dari sekadar kekenalan, lita’arafu juga menekankan konsep saling menghargai dan memahami antara sesama manusia.

Dalam Islam juga, teknologi selamanya adalah dianggap sebagai alat, bukannya matlamat. Surah Al-Dzariyaat, ayat 56, menjadi asas bahawa tujuan utama manusia adalah untuk beribadah kepada Allah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku”.

Maka, segala pencapaian manusia termasuklah dalam bidang sains dan teknologi, hanyalah alat untuk membantu memenuhi tanggungjawab ibadah. Walau bagaimanapun, konteks ibadah tidak harus dihadkan kepada ibadah spiritual di masjid atau surau sahaja, tetapi lebih luas cakupannya merangkumi pelbagai aspek kehidupan seperti bekerja, berkeluarga, beriadah dan sebagainya kerana Islam adalah cara hidup (a way of life).

Justeru, sekiranya teknologi yang menjadi matlamat akhir dan didewakan, maka kita akan sentiasa tersasar dalam kehidupan. Teknologi dalam bahasa yang mudah boleh diumpamakan sebagai sebilah pisau, mampu memotong buah-buahan atau sayur-sayuran, pada masa yang sama, mampu juga mencederakan orang.

Surah Al-Baqarah, ayat 201, menekankan bahawa Islam tidak menolak kemajuan duniawi (termasuk teknologi), namun ia perlu seimbang dengan matlamat ukhrawi.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:

“Dan di antara mereka ada yang berdoa: ‘Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka”. Maka teknologi bukanlah matlamat mutlak, tetapi digunakan untuk kebaikan dunia dan akhirat. 

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari juga menyebut “Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau musafir”. Dalam erti kata lain, jadikanlah dunia ini tempat persinggahan sementara, dan segala yang ada padanya termasuk teknologi hanyalah alat untuk perjalanan menuju akhirat.

Oleh itu, sebagai orang Islam, kebolehupayaan teknologi tergantung kepada cara kita menggunakannya ke arah perkara yang boleh memperkasa hubungan sesama manusia (hablum minannas) dan Pencipta kita, Allah Azza wa Jalla (hablum minallah).

Maka, berbalik kepada persoalan pokok iaitu bagaimana kita mampu melihat teknologi sebagai satu medium yang boleh menjadi alat memperkukuh perpaduan negara dan bukan membejatkannya?

Perpaduan adalah kunci kejayaan sesuatu bangsa, negara dan peradaban. Konsep perpaduan juga adalah asas yang penting kepada pembentukan Piagam Madinah.

Perjanjian bersejarah yang berjaya menyatukan hati kaum-kaum yang berbeza dan majmuk termasuk orang Islam dan Yahudi pada ketika itu atas dasar ketauhidan. Sekiranya kita bersatu hati dalam sesuatu perkara, kebarangkalian untuk mencapai sesuatu matlamat adalah lebih mudah.

Perkara ini dinukilkan juga dalam Surah Al-Maidah, ayat 2, agar kita tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan menghindarkan diri daripada tolong-menolong dalam perkara kejahatan.

Firman Allah yang bermaksud:

 “Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.

Ayat ini jelas mempromosikan konsep perpaduan yang hakiki.

Kita juga diingatkan oleh sejarah Melayu tentang peranan Si Kitol dan Raja Mendeliar mengakibatkan kejatuhan kerajaan agung, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Akibat dengki dan fitnah, musnah peradaban Melayu yang suatu ketika dulu teguh berdiri, dihormati dan disegani kawan dan lawan.

Justeru, pengajaran daripada rakaman awal sejarah Islam dan Melayu menyimpulkan bahawa perpaduan mampu diraih sekiranya kita bersatu hati dan tenaga demi mencapai matlamat yang jelas.

Teknologi seharusnya digunakan secara berhemah dan berhikmah demi membugarkan perpaduan. Hemah dalam erti kata beretika dan hikmah dari sudut nilai.

Oleh itu, teknologi harus dilihat sebagai alat yang mampu menyuburkan proses mengadabkan insan. Defisit adab yang sedang kita hadapi perlu ditangani akibat pelbagai sebab yang telah dinyatakan. Ini kerana ia mampu merencatkan usaha perpaduan nasional dan agenda masa depan negara.

Ayuh, mari kita bersama-sama menggunakan teknologi ke arah kebaikan dalam menggalakkan perpaduan. Kita ada peranan masing-masing yang harus dimainkan untuk kelangsungan bangsa Malaysia yang tercinta.

Bak kata pepatah, serumpun bak serai, sesusun bak sirih yang menggambarkan kehidupan masyarakat yang sentiasa berada dalam situasi saling bersatu hati dan berpadu agar dapat hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera.

Selamat menyambut Hari Malaysia Ke-62. Malaysia Madani, Rakyat Disantuni.

  • Khairul Azami Sidek adalah Dekan, Kulliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img