SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke mencadangkan supaya tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menjadi titik mula untuk menyelaras semula jadual pilihan raya parlimen dan negeri-negeri di Semenanjung.
Bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan DAP Seremban hari ini, Loke berkata belum ada perbincangan rasmi mengenai cadangan itu.
Namun, katanya, jika tarikh pilihan raya dapat diselaraskan, ia bukan sahaja memudahkan pengundi malah dapat menjimatkan kos kerajaan persekutuan.
Ini kerana bajet Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) datang daripada Putrajaya dan mengadakan pilihan raya berasingan berkali-kali menyebabkan kos logistik juga berganda.
“Tetapi itu adalah kuasa budi bicara dan prerogatif perdana menteri,” kata Loke, lapor Malaysiakini.
Menurutnya keputusan untuk menyelaras pilihan raya juga memerlukan kerjasama semua kerajaan negeri di Semenanjung
Jika cadangan ini menjadi kenyataan, PRU16 berkemungkinan berlangsung hujung tahun depan atau awal 2027.
Garis masa pilihan raya di Semenanjung Malaysia bercelaru sejak lima tahun lalu apabila wujud empat kitaran berbeza pilihan raya negeri.
Keadaan ini berpunca daripada pilihan raya negeri mengejut di Melaka (Nov 2021) dan Johor (Mac 2022), selain keputusan enam negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu – untuk mengadakan pilihan raya berasingan daripada PRU15.
Hanya Perlis, Perak dan Pahang yang kekal seiring dengan jadual pilihan raya kerusi parlimen.
Jika garis masa itu mahu diselaraskan semula, ia mesti diadakan sebelum pilihan raya negeri Melaka yang seterusnya.
Penggal semasa Dewan Undangan Negeri Melaka akan tamat pada Disember 2026, bermakna pilihan raya perlu diadakan selewat-lewatnya Feb 2027.
Pilihan raya negeri Melaka pada 2021 diadakan selepas empat Adun menarik sokongan terhadap kerajaan negeri ketika itu.
Sementara itu, pilihan raya negeri Johor pada 2022 pula diadakan selepas majoriti tipis satu kerusi kerajaan negeri terlerai berikutan kematian seorang Adun selepas tarikh akhir bagi pilihan raya kecil.
Bagi enam negeri lain yang mengadakan pilihan raya pada 2023, kerajaan negeri pimpinan PH dan PAS ketika itu enggan mengadakan pilihan raya serentak dengan PRU15 kerana kemarahan awam terhadap risiko pilihan raya umum bertembung dengan banjir musim tengkujuh.
Secara berasingan, di Sabah, Ketua Menteri Hajiji Noor hari ini memberi jaminan bahawa DUN Sabah akan dibubarkan sebelum penggalnya tamat pada 11 Nov.
Media melaporkan dia berkata keputusan itu akan diumumkan tidak lama lagi dan ia tidak akan dipengaruhi oleh ramalan cuaca.
Sabah kini sedang pulih daripada kejadian banjir dan tanah runtuh yang meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa.