SUARA AWANG SELAMAT
Awang tidak tahu apa ada dalam kepala anggota Jabatan Imigresen yang terlibat dalam sindiket counter setting bagi melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut proses ditetapkan.
Walaupun sudah banyak kali tangkapan dibuat tetapi masih ada anggota jabatan itu yang tidak serik, tetap juga mahu mendapatkan wang haram dengan bersekongkol dengan sindiket tersebut.
Geng sindiket itu tak apalah mereka dah sah-sah mengkhianati negara tetapi Awang pelik apabila anggota Imigresen ‘nak tumpang sekaki’. Mungkin mereka tak berniat nak buat macam tu tetapi apabila mereka sudah menerima rasuah bagi melepaskan warga asing masuk tanpa ikut prosedur dah pasti ia dalam kategori ‘khianat’!
Khianat kepada amanah, khianat kepada negara, khianat kepada keluarga. Sepatutnya mereka menjalankan amanah diberikan dengan sebaik-baiknya demi menjaga kepentingan negara, barulah mereka tidak khianat kepada keluarga dengan bawa pulang wang haram untuk suami isteri ,anak, ibu bapa masing-masing.
Mereka bukannya tak tahu wang haram tidak berkat, dapat lah banyak mana pun, mewah hidup macam mana pun tetapi akhirnya ia akan habis. Tetapi macam mana dengan negara yang mereka khianati apabila melepaskan warga asing masuk tanpa ikut undang-undang?
Bagaimana kalau ada di antara mereka itu melakukan jenayah yang mengancam nyawa rakyat negara ini, siapa yang akan bertanggungjawab? Melepaskan wang asing masuk secara haram memang mudah, lepas itu dapat pula duit rasuah beratus ribu, boleh beli barang kemas, bergaya dengan kereta dan motosikal mewah serta beg tangan berjenama tetapi berapa lama hendak hidup macam itu?
Macam mana kalau duit haram yang disuap masuk ke dalam mulut itu membawa seribu satu penyakit, kalau tak kena kat anggota terlibat, mungkin kena kat anak isteri atau ibu bapa mereka.Tetapi itu mereka punya fasal…yang Awang risau ialah keselamatan negara dan nyawa rakyat negara ini.
Mereka meletakkan negara dalam bahaya. Sudah banyak kes jenayah melibatkan warga asing tak kanlah anggota imigresen terlibat tidak fikir soal itu? Apa akan berlaku jika satu hari kes jenayah oleh warga asing tersebut terkena kepada ahli keluarga mereka, apa mereka hendak kata?
Awang bukanlah hendak doakan yang tidak baik cuma Awang nak ingatkan anggota-anggota penguakuasa yang jaga sempadan, keselamatan rakyat dan negara ini berada di tangan mereka. Sikap segelintir mereka yang bergelumang dengan wang rasuah melalui tindakan menggadaikan maruah serta amanah amat tidak bertanggungjawab.
Oleh itu Awang nasihat yang sudah terjebak bertaubatlah, janganlah ulangi lagi perbuatan khianat itu, yang belum terlibat tak payah ada niat yang mencuba dan kepada yang senior-senior janganlah cuba-cuba nak ajar yang junior buat kerja-kerja kotor itu.
Awang – Benci pengkhianat