SEORANG bekas kakitangan sebuah stesen televisyen berbayar yang berdepan 743 pertuduhan mengubah suai sistem pangkalan data syarikat itu layak dibicarakan di mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman memaklumkan perkara itu semasa prosiding sebutan kes membabitkan Nora Idayu Jaafar, 48, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Suhaila Haron.
“Laporan daripada Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak menyatakan bahawa sepanjang tempoh kejadian didakwa berlaku antara 30 Okt 2013 hingga 20 Ogos 2020, tertuduh berada dalam keadaan mental yang waras serta sedar akan sifat dan akibat daripada perbuatannya.
“Tertuduh layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu membela diri,” katanya lapor Bernama.
Peguam Daniel Annamalai, yang mewakili tertuduh, mengesahkan perkara itu dan memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk menyambung pembacaan pertuduhan atas alasan anak guamnya memerlukan masa untuk penyediaan wang jaminan.
Mahkamah kemudian menetapkan tiga hari iaitu 29 dan 30 Sept serta 1 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi pembacaan baki pertuduhan.
Pada 26 Jun lepas, mahkamah mengambil masa hampir dua jam untuk membacakan 132 daripada 743 pertuduhan terhadap Nora Idayu manakala pada 4 Jun lepas, mahkamah hanya sempat mendengar 30 pertuduhan susulan wanita itu pengsan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan yang telah dibacakan sebelum ini, Nora Idayu yang bertugas di Unit Sokongan Komersial syarikat itu didakwa melakukan pengubahsuaian data dengan menukar akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat tanpa kebenaran, dan beliau mengetahui perbuatan itu akan menyebabkan perubahan kandungan pangkalan data tanpa kuasa.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Astro, Menara Icon, Jalan Tun Razak di sini pada 2014 mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sebelum ini, mahkamah membenarkan Nora Idayu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.