POLIS menahan seorang lelaki berusia 34 tahun selepas video mencuri kabel tular di media sosial sejak semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan G Vikra Mathiththan @ Victor berkata, lelaki itu ditahan selepas satu laporan polis diterima daripada orang awam.
Katanya, hasil siasatan kejadian berlaku di Jalan Sungai Tiram, kira-kira pukul 3 pagi.
“Bertindak atas maklumat pada tarikh sama telah menahan seorang lelaki dan hasil semakan rekod lampau, suspek memiliki empat rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.
“Hasil saringan awal air kencing, suspek turut positif methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 33 saat memaparkan seorang penduduk bertanyakan kepada lelaki memegang lampu suluh sama ada dia mencuri kabel.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.