Mulai 30 September harga RON95 RM1.99 untuk rakyat tempatan, RM2.60 untuk bukan warganegara – Anwar

“Mungkin ada yang kritik golongan maha kaya juga dapat… (tetapi) ini (adalah) pengiktirafan kepada rakyat Malaysia.” – Datuk Seri Anwar Ibrahim.

HARGA petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95 dan berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu.

“Manfaat dan keistimewaan ini adalah sebagai penghargaan, pengiktirafan semangat daripada Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia… penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

“Jadi mulai 30 Sept, bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak untuk subsidi kerana untuk peribadi dan (mereka) perlu membayar harga tanpa subsidi iaitu sekitar RM2.60 seliter… RM1.99 untuk rakyat sahaja,” katanya pada perjumpaan beliau bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan September 2025 di Putrajaya  hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan  berkata semua rakyat akan menerima siling kelayakan bulanan BUDI95 sebanyak 300 liter namun pemandu e-hailing dikecualikan dan boleh memohon untuk nilai yang lebih tinggi.

Beliau juga berkata sebagai penghargaan, warga polis dan tentera akan mula menikmati harga RM1.99 seliter bagi RON95 itu pada Sabtu depan (27 Sept) iaitu sebelum tarikh kuat kuasa rasmi.

Anwar berkata golongan B40, yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah, juga akan mula menikmati harga istimewa itu pada Ahad (28 Sept) dan pelaksanaan ini supaya rakyat dapat membiasakan diri dengan mekanisme RON95 secara berperingkat.

Anwar berkata seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95 dan rakyat hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapatkan harga subsidi.

Perdana Menteri berkata mesin pembaca MyKad turut disediakan di dalam kedai dan pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat supaya memastikan cip MyKad berfungsi dengan baik selain memiliki lesen memandu yang sah.

“Warganegara dengan lesen memandu yang sah (layak menerima subsidi)… jadi, yang belum perbaharui, (segera) perbaharui… seperti langkah penghargaan SARA, ia tidak kira tahap pendapatan atau kedudukan kerana kita berikan nikmat dan manfaat subsidi RON95 ini kepada semua.

“Mungkin ada yang kritik golongan maha kaya juga dapat… (tetapi) ini (adalah) pengiktirafan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata bagi mereka yang celik digital, terdapat opsyen seperti Touch ‘n Go dan aplikasi syarikat minyak, contohnya Setel oleh Petronas, yang membolehkan urusan dilakukan tanpa perlu menggunakan MyKad bagi setiap transaksi.

Beliau berkata Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang berani mengambil langkah menurunkan harga minyak demi kepentingan rakyatnya meskipun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Sekarang harga di Arab Saudi RM2.61 seliter, itu merupakan antara negara pengeluar minyak terbesar di dunia… di Indonesia, harga petrol RM3.22 seliter… Filipina (RM4.22), Thailand (RM5.68) dan Singapura (RM9.02).

“Tentunya Singapura bukan pengeluar minyak tetapi saya nak jelaskan dalam kalangan negara kita, termasuk negara pengeluar minyak, kita masih antara yang paling rendah, cuma yang lebih rendah sedikit daripada kita adalah Brunei,” katanya.

Anwar juga berkata Kementerian Kewangan akan memberi penerangan dan perincian lanjut berhubung mekanisme penyasaran subsidi RON95.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img