Sita 498 akaun bank bernilai RM110 juta,5 kapal (RM52 juta), 4.5 juta liter minyak diesel (RM9.7 juta), 17 kereta mewah (RM5.6 juta), 40 bidang tanah (RM11.3 juta), 9 jam tangan mewah (RM1.2 juta), jongkong emas 500 gram (RM260,500) serta pelbagai mata wang asing (RM156,479), jumlah keseluruhan RM190.8 juta
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket rasuah, penyeludupan minyak diesel serta pengubahan wang haram di Sabah dan Sarawak melalui siri operasi khas Ops Karen 1.0 hingga 3.0 yang dijalankan bermula dari 2 hingga 8 September lepas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kegiatan jenayah terancang itu dipercayai telah menyebabkan kerugian hasil kerajaan sebanyak RM247 juta dalam tempoh 10 tahun.
Beliau berkata operasi bersepadu itu melibatkan Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) diketuai SPRM bersama-sama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Laut.
“Sebanyak 21 anggota Pasukan Taktikal SPRM (ACTS) ditugaskan untuk melaksanakan serbuan berisiko tinggi itu dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan helikopter dan bot tempur bagi memintas pergerakan kapal.
“Kira-kira 100 pegawai SPRM turut digerakkan bagi menjayakan operasi berkenaan,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.
Hasil operasi itu, katanya sebanyak enam orang termasuk dua individu bergelar Datuk ditahan, iaitu empat pengarah dan dua pengurus syarikat yang memiliki lesen sah pembekalan minyak diesel kerana telah menyalahgunakan lesen itu untuk tujuan penyeludupan.
Pada masa sama, sebanyak 36 saksi telah dirakam bagi membantu siasatan kes itu antaranya mengikut Seksyen 16, 17, 17A dan 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“SPRM turut membekukan 498 akaun bank bernilai RM110 juta selain menyita pelbagai aset termasuk lima kapal bernilai RM52 juta, 4.5 juta liter minyak diesel (RM9.7 juta), 17 kereta mewah (RM5.6 juta), dan 40 bidang tanah (RM11.3 juta).
“Turut disita sembilan jam tangan mewah (RM1.2 juta), satu jongkong emas 500 gram (RM260,500) serta wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah RM156,479 melibatkan jumlah keseluruhan RM190.8 juta,” katanya sambil menegaskan komitmen berterusan agensi itu dalam membenteras jenayah yang menggugat ekonomi dan keselamatan negara.
Azam berkata siasatan yang dijalankan menerusi Ops Karen ialah hasil risikan teliti dengan kerjasama BNM serta agensi berkaitan, bagi mengesan aliran kewangan mencurigakan sebelum tindakan operasi diambil.
“Operasi kali ini merupakan siri kedua selepas tindakan sama di Sarawak pada tahun lepas, namun kes baharu ini jauh lebih besar kerana membabitkan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk LHDN, KPDN dan Jabatan Laut.
Azam turut mendedahkan kegiatan ini dipercayai mendapat perlindungan daripada elemen kongsi gelap, termasuk kumpulan underground yang berperanan dalam membantu sindiket menyeludup minyak dari kawasan nelayan di Sarawak.
“Sepanjang 10 tahun, kerajaan dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM247 juta, tetapi jumlah pemulihan dijangka lebih besar hingga dua kali ganda selepas siasatan lengkap termasuk hasil denda, penalti dan kutipan cukai tertunggak,” katanya.
Beliau menegaskan syarikat terlibat berdepan dengan tindakan pelbagai agensi termasuk penyitaan aset, pembatalan lesen serta kemungkinan disenaraihitamkan oleh KPDN, selain tindakan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001.