Oleh: Tan Sri Dzulkifli Ahmad
KEBELAKANGAN ini timbul perdebatan malah kekeliruan mengenai penggunaan Seksyen 41 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Peruntukan ini adalah antara kuasa paling besar yang dimiliki Pendakwa Raya, tetapi pada masa yang sama paling kurang difahami.
Seksyen 41 hanya terpakai kepada harta yang telah disita oleh SPRM semasa siasatan di bawah Akta ini.
Setelah harta disita dan berada dalam kawalan agensi penguat kuasa, dalam tempoh 18 bulan dari tarikh sitaan, Pendakwa Raya mempunyai dua pilihan undang-undang yang jelas:
- Pendakwaan (Seksyen 40)
Pendakwa Raya boleh mendakwa seseorang berhubung dengan harta yang disita bagi kesalahan di bawah Akta SPRM. Jika orang itu disabitkan, mahkamah boleh memerintahkan perlucuthakan harta tersebut di bawah Seksyen 40.
Malah, jika tertuduh dibebaskan, mahkamah masih boleh memerintahkan perlucuthakan sekiranya berpuas hati bahawa tertuduh bukan pemilik sebenar dan sah harta tersebut, serta tiada pihak lain yang mempunyai hak ke atas harta itu sebagai pembeli bona fide dengan balasan berharga.
Dengan kata lain, pembebasan tidak semestinya menyebabkan harta yang disita dipulangkan. Sekiranya harta itu sendiri terbukti berunsur rasuah, ia masih boleh dilucuthakkan oleh mahkamah.
- Perlucuthakan tanpa pendakwaan (Seksyen 41)
Laluan kedua ialah memohon terus kepada mahkamah untuk melucuthakkan harta yang disita di bawah Seksyen 41, tanpa mendakwa mana-mana individu. Apabila kuasa ini digunakan, ia bermakna tiada sesiapa akan didakwa berhubung dengan harta tersebut.
Perbezaannya amat penting. Seksyen 41 hanya boleh digunakan apabila tiada pendakwaan. Dengan kata lain, sebaik sahaja permohonan dibuat di bawah Seksyen 41, ia menunjukkan bahawa Pendakwa Raya telah membuat keputusan untuk tidak mendakwa sesiapa berhubung dengan harta yang disita itu.
Lebih penting, keputusan ini adalah di tangan Pendakwa Raya — bukan SPRM atau mana-mana agensi penguat kuasa. Ia mesti dibuat sebelum tempoh 18 bulan dari tarikh sitaan tamat, dan hanya selepas Pendakwa Raya meneliti sepenuhnya segala keterangan yang dikumpul semasa siasatan SPRM.
Dalam ertikata lain, apabila Seksyen 41 digunakan, Pendakwa Raya telah mempertimbangkan semua bukti dan memutuskan bahawa pendakwaan tidak akan diteruskan, sebaliknya hanya perlucuthakan dimohon terhadap harta yang disita.
Perlindungan kehakiman
Walaupun begitu, perlucuthakan bukanlah automatik. Sebelum membuat perintah di bawah Seksyen 41, mahkamah mesti berpuas hati bahawa harta yang disita adalah hasil atau digunakan dalam perlakuan sesuatu kesalahan di bawah Akta SPRM. Ini adalah benteng kawalan supaya perlucuthakan berasaskan bukti yang jelas, bukan sekadar syak wasangka.
Tanggungjawab untuk memberi penjelasan
Memandangkan perlucuthakan di bawah Seksyen 41 mengenepikan proses perbicaraan iaitu medan sebenar keadilan diuji Pendakwa Raya memikul tanggungjawab besar untuk menjelaskan mengapa perlucuthakan dipilih berbanding pendakwaan.
Tanpa penjelasan ini, timbul risiko keyakinan awam terhakis dan persepsi keadilan terpilih akan semakin menebal — di mana ada yang didakwa dan dibicarakan, manakala yang lain sekadar kehilangan harta tanpa didakwa.
Bolehkah pendakwaan dibuat selepas perlucuthakan?
Satu persoalan penting sering dibangkitkan: setelah permohonan difailkan dan mahkamah memerintahkan perlucuthakan di bawah Seksyen 41, bolehkah Pendakwa Raya kemudiannya mendakwa seseorang berhubung dengan harta yang sama?
Berdasarkan peruntukan Seksyen 41, jawapannya ialah tidak. Pendakwa Raya hanya boleh memohon untuk perlucuthakan harta apabila telah membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana orang berkaitan dengan harta yang disita — ia tidak boleh melucuthakkan dahulu dan kemudian mendakwa seseorang berhubung dengan harta yang sama.
Melakukannya akan bermakna tindakan berganda ke atas perkara yang sama, sesuatu yang jelas tidak pernah dimaksudkan oleh Parlimen semasa undang-undang ini digubal.
Ada yang mengatakan perlucuthakan dan pendakwaan adalah “dua isu berasingan.” Itu tidak tepat. Di bawah Akta SPRM, ia adalah dua laluan undang-undang yang berbeza untuk harta yang disita. Pendakwa Raya boleh mendakwa dan kemudian memohon perlucuthakan di bawah Seksyen 40, atau memohon perlucuthakan tanpa pendakwaan di bawah Seksyen 41.
Mengapa ia penting
Perlucuthakan terhadap harta seseorang adalah satu proses perundangan yang serius, malah melibatkan hak yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
Sekali Pendakwa Raya membuat keputusan berhubung harta yang disita — sama ada untuk mendakwa dan memohon perlucuthakan di bawah Seksyen 40, atau untuk hanya melucuthakkan tanpa pendakwaan di bawah Seksyen 41 — laluan itu adalah muktamad. Ia tidak boleh ditukar kemudian.
Jika sebaliknya dibenarkan, ia akan menggugat kepastian undang-undang, keadilan dan integriti sistem perundangan.
Sekiranya perlucuthakan menjadi norma manakala pendakwaan diketepikan, keadilan akan terdedah kepada risiko hanya semata-mata untuk mendapatkan semula aset — bukannya kebenaran, kebertanggungjawaban, pencegahan dan hukuman.
Rakyat Malaysia berhak mengetahui mengapa ada yang didakwa, tetapi ada pula yang hanya dilucuthakkan hartanya. Ketelusan adalah satu-satunya jalan untuk mengekalkan kepercayaan terhadap sistem keadilan.
- Tan Sri Dzulkifli Ahmad adalah bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM dan bekas Timbalan Pendakwa Raya.