Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani
BARU-baru ini Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (PBBUM atau UMANY) menggesa agar program matrikulasi dimansuhkan dengan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya saluran untuk pelajar menyambung pengajian di universiti.
Walaupun kemudiannya PBBUM memohon maaf atas kenyataan itu namun suka diingatkan bahawa program tersebut diurus oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)sejak tahun 1999 lagi.
* Matrikulasi untuk Melayu dan bumiputera, diiktiraf negara luar.
Asalnya matrikulasi bertujuan untuk memperbanyak pelajar Melayu dan bumiputera menyambung pengajian dalam bidang profesional, sastera ikhtisas seperti perakaunan, sains dan teknologi.
Kira-kira 10 negara mengiktiraf program matrikulasi dan menerima lulusannya untuk menyambung pengajian di universiti negara tersebut seperti England, New Zealand dan Jepun. Mulai tahun 2004 secara ihsannya sebanyak 10 peratus pelajar bukan bumiputera dibenarkan mengikuti program matrikulasi.
*Tidak wajar pertikai
Program matrikulasi tidak bercanggah sebaliknya ia bertepatan dengan Perkara 153 Perlembagaan berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu. Justeru tidak wajar mana-mana pihak pun cuba mempertikaikan program tersebut dan program seumpamanya
Sebelum ini beberapa golongan telah mempertikai beberapa perkara yang sudah termaktub dalam Perkara 153 tersebut.
Antaranya ialah kedudukan istimewa orang Melayu yang berkaitan perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dan sebagainya, bagi orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak.
Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara 153.
Kita bimbang jika gesaan menghapuskan program matrikulasi itu akan berkait pula dengan pelbagai usaha lain sama ada secara langsung atau tidak langsung yang boleh memberi kesan negatif dalam usaha memperbanyak profesional Melayu dan bumiputera, anak negeri Sabah dan Sarawak dalam bidang seperti perakaunan dan perubatan.
Dalam bidang ekonomi juga selaras dengan Perkara 153, telah digubal Dasar Ekonomi Baru untuk kepentingan Melayu dan bumiputera. Walaupun kesilapan atau penyelewengan dalam pelaksanaannya berlaku namun seharusnya ia diperbetulkan bukannya dimansuhkan.
Ia kerana matlamat DEB belum tercapai malangnya dasar itu lenyap bersama-sama dengan badan istimewa iaitu Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) demi proses pembandaran orang Melayu.
Seharusnya pihak seperti PBBUM atau mana-mana pihak yang sehaluan pemikiran dengan mereka meminta agar program tidak berkualiti atau tiada pengiktirafan badan profesional seperti Agensi Kelayakan Malaysia (AKM/MQA) dihentikan bukannya menggesa program matrikulasi dimansuhkan.
*Peranan Yang di-Pertuan Agong
Dalam Perkara153, Yang di-Pertuan Agong berperanan memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam.
Dan daripada biasiswa, danasiswa, dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan maka tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.
Dalam fasal (3) Yang di-Pertuan Agong pula boleh memastikan perkara berikut iaitu jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas.
Maka pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu, dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.
Oleh itu janganlah mana-mana pihak termasuk parti politik mahu mempertikaikan sesuka hati sedangkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan mengizinkan hal tersebut dilaksanakan.
*Pemimpin Melayu perlu tegas pertahan Perkara 153
Kita berharap pemimpin Melayu bijak dan berani mempertahankan kepentingan bangsa Melayu apatah lagi sesuatu yang sememangnya mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.
Kerap terlihat hal-hal terkait dengan kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan sama ada dipandang remeh, tidak dipedulikan oleh pihak-pihak tertentu dan lebih buruk jika bermaksud untuk provokasi atau sebab-sebab lain yang hanya mereka maklumi.
*Mohon maaf hanya selepas disergah
Namun kerap kali juga selepas “disergah” mereka yang berkenaan segera memohon maaf, seolah-olah sebuah permainan sahaja dan permohonan maaf akan terlihat tidak ikhlas, tidak membawa apa-apa makna dan tiada nilainya.
Kepada semua rakyat Malaysia, bersama-samalah menyantuni Perkara 153 dan 152 demi keamanan dan keharmonian hubungan dan perpaduan tanpa mengungkit sesuatu yang telah dipersetujui semasa merdeka dahulu. Sebarang ungkitan tidak akan menyelesaikan masalah malah akan menambah kekusutan sedia ada. Masyarakat madani, Perlembagaan disantuni.
- Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti MADANI, Majlis Perundingan Melayu)