ABDUL Mutalib al-Qaisi yang menembak mati dua tentera Israel di Pintu sempadan Allenby, Jordan Khamis lalu melakukan perbuatan itu bagi membalas dendam terhadap kekejaman tentera Zionis di bumi Palestin.
Dalam satu nota yang ditulis sebelum dia menembak Leftenan Kolonel simpanan Yitzhak Harosh, 68, dan Sarjan Oran Hershko, 20, Abdul Mutalib menegaskan apa yang berlaku di Palestin boleh terjadi kepada negara-negara Arab lain.
‘’Jenayah yang dilakukan oleh penjajah Zionis di Semenanjung Gaza suatu hari nanti akan berulang di negara kita, terhadap rumah kita, wanita dan anak-anak kita. Diam kita menjadikan kita sebahagian daripada projek musuh yang mereka gelarkan “Israel Raya’’.
‘’Wahai anak-anak bangsa kita, sampai bila kita akan terus berdiam diri terhadap mereka yang menjajah tanah kita? Adakah kita akan kekal membisu sehinggalah mereka sampai ke tanah kita dan mencemari kesucian kita?,” katanya dalam nota bahasa yang ditujukan kepada seluruh bangsa Arab dan umat Islam.
Tentera Israel yang sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin di Gaza, memaklumkan bahawa Abdul Mutalib yang menggunakan trak membawa bantuan kemanusiaan dari Jordan telah melepaskan tembakan berhampiran Pintu Sempadan Allenby, sebelum ditembak mati oleh pasukan keselamatan di lokasi kejadian.
Kementerian Luar Jordan menyatakan Abdul Mutalib dilahirkan pada 1968, merupakan seorang orang awam yang mula bekerja menghantar bantuan ke Gaza tiga bulan lalu.
Pada Khamis, sebanyak 22 trak bantuan Jordan menyeberangi jambatan itu menuju ke Gaza, sebagai sebahagian daripada usaha yang membolehkan 8,664 trak bantuan memasuki wilayah tersebut sejak perang tercetus di Gaza.
Hamas memuji keberanian Abdul Mutalib dan menganggap ia sebagai tindak balas terhadap “jenayah harian dan pembunuhan yang dilakukan oleh penjajah Israel terhadap rakyat Palestin”.
Kejadian ini berlaku setahun selepas tiga lelaki Israel ditembak mati di lokasi sama oleh seorang pemandu trak Jordan, menurut tentera Israel.
Pintu Sempadan Allenby, atau dikenali sebagai Jambatan Raja Hussein, terletak kira-kira di tengah-tengah antara Amman dan Baitulmaqdis, dan merupakan satu-satunya pintu rasmi antara Tebing Barat dan Jordan, selain menjadi satu-satunya laluan ke Tebing Barat yang tidak melalui Israel.
Jordan dan Israel mengekalkan hubungan keselamatan, perdagangan dan diplomatik, walaupun Jordan sering mengkritik tindakan Israel terhadap rakyat Palestin. Setiap hari, puluhan trak menyeberangi dari Jordan untuk membekalkan barangan ke pasaran di Tebing Barat dan Israel.
Berikutan kejadian itu pihak berkuasa Israel telah menutup pintu sempadan itu susulan tembakan Khamis lalu.