SUARA AWANG SELAMAT
AWANG senyum apabila melihat gelagat pemimpin UMNO yang bagaikan ‘berpesta’ apabila melihat ‘krisis’ tercetus antara Bersatu dan Pas. Cara mereka membuat kenyataan seolah-olah sudah menang pilihan raya sedangkan parti itu sekadar ‘menumpang’ dalam kerajaan dengan ihsan PKR dan DAP serta Amanah.
Mereka seronok sangat kerana merasakan inilah detik terbaik atau paling bermakna dalam hidup mereka sejak selepas PRU-15 apabila melihat Bersatu dan Pas ‘berbalah’ soal calon PM.
Maklumlah mereka dah tak boleh cakap soal calon PM, sebab Anwar Ibrahim sebagai PM membuktikan beliau jauh lebih baik daripada pemimpin UMNO yang ada. Jadi bila ada isu soal calon PM walaupun tak ada kaitan dengan UMNO, mereka tumpanglah sekaki sekadar nak ‘hiburkan hati’, lagipun bak kata orang ‘sampai meleleh air liur’ dok tunggu benda tu.
Awang tahu dalam keadaan UMNO kini tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu, mereka berharap tempias perbalahan antara Bersatu dan Pas akan menguntungkan UMNO. Jadi mereka pun cakaplah kenapa Pas dulu tak nak Muafakat Nasional, ada seorang tu pulak cakap pasal sumbangan dana politik Bersatu kepada Pas. Seronok sungguh mereka.
Sebagai pemerhati politik, Awang nak nasihatkan UMNO, kalau boleh bila dua parti Melayu ada krisis…janganlah tepuk tangan. Awang faham dalam politik, bila musuh ada masalah itu ibarat ‘bulan jatuh ke riba’.
Tetapi Awang nak ingatkan, UMNO jangan dok mimpi bahawa krisis antara dua parti itu akan untungkan UMNO, waima kalau Pas keluar dari PN sekalipun, UMNO tak akan dan tak mungkin akan untung. Sebaliknya, yang Awang diberitahu, penolakan rakyat khususnya orang Melayu terhadap UMNO kekal. Pada masa sama kaum lain pula terus bersama PH yang diketuai Anwar sebagai PM
Sehingga ke hari ini, orang Melayu melihat UMNO ada pun tak apa tak ada pun tak rugi sebab Bersatu dan Pas ada. Soal krisis antara dua parti tersebut, itu masalah dalaman ‘pergaduhan adik beradik’. Tak adalah sampai nak putuskan hubungan seperti mana DAP nak buat kepada Ketua Pemuda UMNO atau UMNO Batu putus hubungan dengan PH Wilayah Persekutuan.
Bagi Awang, UMNO tidak perlu teruja krisis Bersatu-Pas, lebih baik tumpu bagaimana UMNO boleh terus menjadi ‘penumpang bernilai’ kepada Kerajaan Madani. Selesaikan juga soal pembahagian kerusi untuk PRN Melaka dan Johor serta bagaimana UMNO nak ‘menyelit’ dalam PRN Sabah. Lepas itu fikir pula bagaimana nak penuhi mimpi-mimpi indah pemimpin kanan mahu UMNO kembali dominan dalam arena politik tanah air.
Pada Awang, semua itu lebih penting kerana ia penentu kepada survival politik UMNO. Pas ada empat negeri yang diperintah secara mutlak, UMNO hanya ada dua sahaja iaitu Melaka dan Johor manakala di Pahang dan Perak, UMNO kena harap ehsan PH untuk jadi Menteri Besar, mungkin lepas PRU-16 UMNO jadi pembangkang..siapa tahu? Betul tak?
Sebenarnya UMNO lah parti yang paling tidak layak untuk bersorak atau mengecam parti lain. Ia kerana kekuatan politik mereka sudah semakin luntur di seluruh negara. Ada di sesetengah negeri, orang terkejut kalau kita cakap UMNO ada di negeri itu…sebab ada pun macam tak ada saja.
Awang seikhlas hati nak nasihatkan UMNO sebelum nak bersorak kat Bersatu dan Pas yang tengah ada sedikit masalah itu, cerminlah diri, pastikan yang dikendong tak berciciran sebab UMNO tak ada apa nak dikejar…pasal semuanya kena runding dengan PH dan apapun krisis dalam PN, UMNO tak akan meraih apa-apa sebab ahli UMNO pun belum tentu undi UMNO…
Awang – tak suka bersorak