1 Syawal hari Jumaat?….Umat Islam diminta jangan buat spekulasi

JABATAN Mufti Perak menasihatkan umat Islam tidak membuat spekulasi berhubung kemungkinan tarikh 1 Syawal 1447 jatuh pada Jumaat.

Sebaliknya jabatan itu dalam kenyataan dalam Facebook meminta, umat Islam menunggu pengumuman rasmi pihak berkuasa.

Berikut kenyataan penuh jabatan itu:

Pihak Jabatan Mufti Negeri Perak mengambil maklum kerisauan sebahagian masyarakat berhubung dengan tularnya kemungkinan tarikh 1 Syawal 1447H yang dikatakan berpotensi jatuh pada hari Jumaat, berbeza dengan takwim tahunan yang menyatakan hari Sabtu sebagai jangkaan awal.

Sehubungan itu, beberapa penjelasan penting adalah seperti berikut:

*Takwim adalah Panduan Hisab Awal

Takwim hijri yang diedarkan kepada umum disusun berdasarkan data hisab sebagai panduan perancangan tahunan.

Walau bagaimanapun, penetapan rasmi 1 Syawal adalah tertakluk kepada proses rukyah hilal pada petang 29 Ramadan serta pengisytiharan pihak berautoriti.

Sebarang perbezaan antara jangkaan takwim dan keputusan rasmi bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sistem penentuan awal bulan Islam.

*Realiti Kaedah Rukyah dan Hisab

Malaysia mengamalkan pendekatan rukyah dan hisab secara bersepadu. Secara prinsip falak:

  • Apabila hilal berada di atas ufuk ketika matahari terbenam, secara umumnya ia mempunyai potensi untuk dilihat.
  • Namun, dalam konteks kita di Malaysia tahap kebolehnampakan hilal bergantung kepada beberapa parameter teknikal seperti ketinggian hilal (altitud) dan jarak antara bulan dan matahari (elongasi).
  • Hilal yang terlalu rendah atau hampir dengan ufuk mempunyai potensi kenampakan yang sangat lemah walaupun secara teorinya ia telah wujud. Oleh itu, kewujudan hilal di atas ufuk tidak semestinya menjamin kenampakan secara fizikal.

*Faktor Cuaca dan Keadaan Atmosfera

Keadaan cuaca seperti awan tebal, jerebu atau gangguan atmosfera merupakan cabaran utama dalam proses cerapan.

Walaupun secara hisab hilal dijangka mempunyai potensi untuk dilihat walaupun tidak memenuhi kriteria, faktor cuaca boleh menghalang kenampakan sebenar. Sebaliknya, dalam keadaan atmosfera yang sangat baik dan ia merupakan satu perkara yang jarang berlaku di Malaysia, hilal kemungkinan kadangkala berjaya dicerap. Ini menunjukkan bahawa keputusan penetapan tidak hanya bergantung kepada data kiraan, tetapi juga realiti cerapan di lapangan.

  • Perbandingan dengan Tahun 2022 Terdapat juga kebimbangan bahawa situasi tahun 2022 mungkin berulang kembali. Untuk makluman, parameter hilal setiap tahun adalah berbeza.

Pada tahun ini kedudukan hilal Syawal didapati lebih rendah dan lebih sukar untuk dicerap berbanding tahun 2022, maka secara teknikal tahap kebolehnampakannya juga adalah lebih sukar. Namun begitu, keputusan rasmi tetap bergantung kepada dapatan cerapan sebenar, proses pengesahan yang ditetapkan dan pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Seruan kepada Masyarakat

Sehubungan dengan itu, masyarakat dinasihatkan agar:

  • Tidak membuat spekulasi awal berhubung tarikh Hari Raya.
  • Menunggu pengumuman rasmi pihak berautoriti.
  • Bertenang serta memahami bahawa perbezaan jangkaan adalah perkara yang boleh berlaku dalam disiplin falak. Pihak Jabatan Mufti Negeri Perak juga menggalakkan agar persiapan Aidilfitri dibuat secara terancang dan lebih awal, demi mengelakkan sebarang kesulitan di saat akhir.

Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan umat Islam dalam menyempurnakan Ramadan dan menyambut Syawal dalam suasana penuh ketenangan dan kesyukuran.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img