SERAMAI 13 Ahli Parlimen Bersatu menyokong untuk mengekalkan bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Whip Dewan Rakyat Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melalui surat bertarikh 24 Februari lalu kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menurutnya, seramai 13 Ahli Parlimen parti itu secara kolektif menyatakan sokongan kepada Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut untuk kekal sebagai Ketua Pembangkang.
“Ahli Parlimen Bersatu akan terus memberi tumpuan dan fokus bagi menjulang suara rakyat.
“Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Bersatu juga akan mengangkat kepentingan nasional dan melakukan peranan semak dan imbang dengan penuh tanggungjawab terutamanya dalam sesi Parlimen yang berbaki beberapa hari lagi,” katanya.
Berdasarkan lampiran dalam surat berkenaan, 13 Ahli Parlimen yang menyokong Hamzah adalah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar).
Selain itu, Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salan (Sabak Bernam) dan Islahuddin Abbas (Mersing).
Lembaga Disiplin Bersatu sebelum ini dilaporkan memecat keahlian Hamzah.
Menurut notis yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, pemecatan Hamzah dibuat kerana tindakannya yang melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
Takiyuddin pada 22 Februari lalu menyatakan, calon daripada Pas akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Hamzah yang dipecat keahliannya.


