UJIAN bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula di seluruh negara hari ini menyaksikan 100 calon terjejas banjir di Kelantan termasuk 15 pelajar terpaksa diangkut menggunakan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menduduki peperiksaan hari pertama itu.
Kesemua calon terjejas membabit pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) keempat-empat daerah di Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
Pengarah Pendidikan Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, seramai 15 pelajar dari SMK Kutan, Tumpat sebelum ini ditumpangkan di asrama SMK Mahmud Mahyidin sebagai langkah keselamatan selepas kediaman masing-masing dinaiki air.
“Awal pagi ini, trak tentera tiba untuk membawa mereka dari SMK Mahmud Mahyidin ke pusat peperiksaan di SMK Kutan,” katanya pada sidang media di SMK Sultan Ismail, Kota Bharu.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, 29 calon berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum selesai dipindahkan ke asrama sekolah bagi memastikan mereka berada dalam keadaan lebih selamat dan teratur untuk menghadapi peperiksaan.
“Sementara itu, 56 calon dari SABK Nurul Huda Kajang Sebidang turut dipindahkan lebih awal walaupun kawasan sekolah belum dinaiki air.
“Mereka ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah yang turut dijadikan pusat peperiksaan alternatif bagi mengelakkan risiko pemindahan pada saat akhir,” katanya.
Beliau menambah, prosedur kecemasan Operasi Payung diaktifkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dalam menyelaras bantuan logistik, pengangkutan, laluan selamat dan penempatan calon dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk ATM, Angkatan Pertahanan Awam, bomba, Agensi Pengurusan Bencana Negara sertaJabatan Kesihatan Negeri.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan semua calon dapat menduduki SPM dalam keadaan selamat, selesa dan tenang,” katanya.
Dalam pada itu, ibu bapa diminta memberikan kerjasama sepenuhnya dan memastikan anak-anak mereka memaklumkan kepada sekolah atau JPNK sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan kerana halangan banjir atau hubungi Bilik Gerakan Peperiksaan JPNK di talian 09-744 1411.
Peperiksaan SPM 2025 di Kelantan bermula hari ini hingga 23 Disember melibatkan 27,361 calon di 286 pusat peperiksaan dengan penyertaan 3,180 petugas termasuk pengawas sukarelawan.



