15 rakyat Malaysia ditahan di Bali,  disyaki terlibat sindiket beri pinjaman dalam talian

SEBANYAK  17 warga asing, termasuk 15 rakyat Malaysia dan dua warga Singapura, ditahan pihak berkuasa imigresen Bali kerana disyaki terlibat dalam kegiatan beri pinjaman peribadi dalam talian yang dipercayai dijalankan dari sebuah vila di Dalung, Kuta Utara.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan imigresen pada 22 Oktober lalu. Butiran kes itu didedahkan pada sidang media Isnin.

Ketua Pejabat Imigresen Ngurah Rai, Muhamad Novyandri, berkata vila berkenaan dipercayai digunakan sebagai pangkalan sementara untuk mengendalikan permohonan pinjaman peribadi dalam talian yang menyasarkan pelanggan warga asing di luar Indonesia.

Hasil soal siasat awal mendapati tiga daripada mereka dipercayai bertindak sebagai pengurus, manakala 14 lagi berperanan sebagai pentadbir, lapor thebalitimes.com.

Menurut pihak imigresen, operasi berkenaan mempromosikan perkhidmatan pinjaman melalui Facebook sebelum mengarahkan bakal pelanggan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

Pemohon pinjaman didakwa diminta memberikan maklumat pekerjaan, slip gaji, nombor hubungan kecemasan serta butiran peribadi lain. Kadar faedah yang dikenakan pula dilaporkan antara 20 hingga 30 peratus, bergantung pada profil pelanggan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa setakat ini tidak menemui petunjuk bahawa warga Indonesia turut menjadi pelanggan operasi berkenaan.

Jumlah keseluruhan pinjaman yang telah dikeluarkan serta nilai kerugian kewangan yang mungkin berkaitan dengan kegiatan itu masih belum didedahkan.

Dalam serbuan tersebut, pegawai imigresen merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan operasi berkenaan, termasuk komputer, monitor, telefon bimbit, pemacu USB, pasport, dokumen dan wang tunai.

Tiga individu dilaporkan cuba melarikan diri dengan memanjat tembok di bahagian belakang vila, namun berjaya ditahan oleh pegawai bertugas.

Kesemua 17 warga asing itu kini ditempatkan di pusat tahanan sementara imigresen bagi membolehkan siasatan dan pemeriksaan lanjut dijalankan.

Pihak imigresen mengesyaki kumpulan berkenaan menyalahgunakan permit tinggal serta memberikan maklumat tidak tepat ketika memohon visa atau permit kediaman.

Kes itu dikendalikan mengikut undang-undang imigresen Indonesia.

Bagaimanapun, pihak berkuasa belum mengklasifikasikan operasi berkenaan sebagai penipuan, dan setakat ini tiada sabitan jenayah diumumkan terhadap mana-mana individu yang ditahan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here