16 Ahli Parlimen Bersatu hantar surat gesa Muhyiddin tangani segera ‘isu-isu dalaman’

KONFLIK dalam Bersatu semakin serius apabila seramai 16 ahli Parlimen Bersatu mengutus surat kepada Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyuarakan kebimbangan serius terhadap perpecahan dalaman yang semakin meningkat dalam parti berusia sembilan tahun tersebut.

Dalam sepucuk surat bertarikh 23 Oktober itu mereka menggesa beliau supaya segera menangani “isu-isu dalaman” bagi mengelakkan parti “menjadi mangsa kepada ego mana-mana pemimpin individu”.

Berdasarkan surat itu yang dilihat Utusanmelayuplus, ahli Parlimen yang menandatanganinya selain Saifuddin ialah ialah Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor, Muhammad Islahuddin Abas (Mersing), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu),Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah),Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin) dan Nordin Ahmad Ismail (Lumut).

Selain itu, Zakri Hassan (Kangar); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Azahari Hasan (Padang Rengas); Kalam Salan (Sabak Bernam); dan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok).

“Kami bimbang perkembangan ini akan menjadikan parti kelihatan lemah di mata rakyat. Kami percaya bahawa (anda) mempunyai kebesaran jiwa untuk memahami dan menangani kebimbangan kami yang serius ini, serta mengambil langkah segera untuk memperbetulkan keadaan,’’ kata surat tu.

Para penandatangan turut mengkritik tindakan memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, dengan menyifatkan keputusan itu sebagai “tidak bijak” dan merosakkan imej serta momentum parti.

Mereka mendakwa tindakan disiplin itu telah menjejaskan sokongan yang semakin meningkat terhadap cadangan Belanjawan Perikatan Nasional (PN) yang baru-baru ini dibentangkan oleh ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Perhatian awam terhadap cadangan itu terus terganggu sebaik sahaja pengumuman pemecatan dan penggantungan dibuat,” kata surat tersebut.

Ahli-ahli Parlimen itu juga melihat tindakan berkenaan sebagai cubaan untuk melemahkan persiapan PN menjelang pilihan raya negeri Sabah pada 29 November ini.

Mereka turut membantah keputusan parti memanggil Hamzah untuk hadir ke hadapan Lembaga Disiplin Bersatu, sambil menyifatkannya sebagai “tindakan yang langsung tidak masuk akal”.

Dalam satu wawancara podcast bersama bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim, semalam, Wan Saiful mendakwa Hamzah, yang juga timbalan presiden Bersatu, telah dipanggil oleh lembaga disiplin parti untuk menjelaskan mengapa beliau gagal “mengawal” dirinya (Wan Saiful), namun Hamzah tidak hadir.

Wan Saiful baru-baru ini dipecat oleh Bersatu kerana melanggar perlembagaan dan kod etika parti. Wan Fayhsal turut digantung atas alasan yang sama.

Lembaga Disiplin Bersatu juga memecat empat ketua bahagian — Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur), dan Isa Saidi (Ampang).

 

 

 


 

UNDILAH

[socialpoll id=”2974793″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img