2,196 pengurus, penolong pengurus NADI terima insentif khas RM1,000

SERAMAI 2,196 pengurus,penolong pengurus  Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara akan menerima insentif khas sebanyak RM1,000 secara sekali bayar sempena sambutan Aidilfitri.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, insentif itu diberikan sebagai penghargaan kerajaan terhadap komitmen petugas pusat tersebut dalam menyampaikan maklumat kerajaan secara berkesan kepada komuniti selain pemerkasaan digital.

“Tahun ini sebagai tanda kasih dan penghargaan, kita minta dan telah diluluskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), mereka dapat bonus sebanyak RM1,000. Ini pertama kali dalam sejarah Nadi dan SKMM,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bazar Raya Nadi.

Beliau berkata, lebih 10,000 usahawan dijangka menyertai penganjuran Bazar Raya Nadi 2026, yang turut menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan melalui kerjasama dengan pelbagai agensi,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi berkata kesemua 1,098 NADI di seluruh negara akan menganjurkan Bazar Raya secara serentak pada 14 Mac ini, sebagai antara usaha untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri di peringkat komuniti.

Beliau berkata penganjuran Bazar Raya itu akan turut melibatkan sesi jualan oleh beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

“Inisiatif ini juga membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk masing-masing dan merancakkan ekonomi komuniti menjelang Aidilfitri,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img