LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan aliran trafik meningkat dengan 3.27 juta kenderaan menggunakan lebuh raya utama seluruh negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
Dalam kenyataan hari ini LLM berkata, peningkatan trafik dijangka bermula seawal Jumaat ini, khususnya bagi pergerakan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan Pantai Timur.
Jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya utama dan lebuh raya sambungan ke lebuh raya utama mampu mencapai 3.27 juta kenderaan pada hari puncak sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Selasa dan Rabu depan.
“Berdasarkan unjuran trafik, lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS mencatatkan anggaran tertinggi dengan 2.2 juta kenderaan, diikuti Lebuhraya KL-Karak dengan 210,000 kenderaan.
“Selain itu, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) diunjurkan menerima 90,000 kenderaan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dengan 40,000 kenderaan dan
Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sebanyak 160,000 kenderaan,” kata LLM.
Bagi lebuh raya sambungan, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) diunjur menerima 275,000 kenderaan, Lebuhraya Kuala Lumpur Kuala Selangor (LATAR) dengan 145,000 kenderaan, manakala Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) sebanyak 150,000 kenderaan, menjadikan jumlah keseluruhan 3.27 juta kenderaan.
Menurut LLM, semua syarikat konsesi lebuh raya diarah membuat persediaan rapi bagi memastikan perjalanan pengguna lebuh raya selamat serta lancar sepanjang tempoh perayaan.
“Antara langkah diambil termasuk memastikan tiada penutupan lorong kecuali kerja kecemasan bermula 12 hingga 23 Februari ini serta pengaktifan lorong pintar di 32 lokasi dikenal pasti di Lebuhraya PLUS.
“Selain itu, sistem kutipan tol dipastikan berfungsi dengan baik, termasuk pelaksanaan kutipan tol berlapis di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mencatatkan trafik tinggi,” kata kenyataan itu lagi.
LLM turut menasihatkan pengguna merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk aplikasi TuJu Highway Navigation App LLM serta maklumat travel time advisory bagi Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1,” menurut LLM.
Maklumat trafik semasa serta sebarang insiden boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi LLM, aplikasi X dan TikTok, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1 800 88 7752.


