3.5 juta warga Bangladesh di Arab Saudi hantar pulang wang lebih RM23 bilion

BANGLADESH telah menghantar lebih 750,000 pekerja ke Arab Saudi pada tahun 2025, menjadikannya penghantaran tenaga kerja ke luar negara tertinggi ke sebuah negara tunggal pernah direkodkan, menurut biro buruh negara itu pada Jumaat.

Kira-kira 3.5 juta warga Bangladesh tinggal dan bekerja di Arab Saudi, menghantar pulang lebih AS$5 bilion (RM23 bilion) setiap tahun. Mereka telah memasuki pasaran buruh Saudi sejak 1970-an dan kini merupakan kumpulan ekspatriat terbesar di negara tersebut.

Tahun lalu, Arab Saudi kekal sebagai destinasi utama pekerja Bangladesh, dengan lebih dua pertiga daripada lebih 1.1 juta rakyat Bangladesh yang bekerja di luar negara pada 2025 memilih negara berkenaan.

“Lebih 750,000 migran Bangladesh telah pergi ke Arab Saudi tahun lalu,” kata Pengarah Jeneral Tambahan Biro Tenaga Manusia, Pekerjaan dan Latihan (BMET), Ashraf Hossain, kepada Arab News.

“Setakat ini, ia adalah angka tertinggi bagi Bangladesh, sama ada penghantaran migran ke Arab Saudi atau ke mana-mana negara tertentu dalam tempoh satu tahun.”

Data terkini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding 2024, apabila kira-kira 628,000 rakyat Bangladesh pergi ke Arab Saudi untuk bekerja, sekali gus menambah komuniti diaspora terbesar negara itu di luar Bangladesh.

Pihak berkuasa Bangladesh dalam beberapa tahun kebelakangan ini memberi tumpuan kepada penghantaran lebih ramai pekerja mahir ke Arab Saudi, selepas kerajaan negara itumelancarkan Program Pengesahan Kemahiran di Bangladesh pada 2023, yang bertujuan meningkatkan kecekapan profesional tenaga kerja dalam pasaran buruh Saudi.

Bangladesh turut menambah bilangan pusat pensijilan, membolehkan lebih ramai calon disahkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

“Tumpuan kami kini adalah untuk meningkatkan migrasi yang selamat, berkemahiran dan teratur. Eksport tenaga kerja mahir ke Arab Saudi telah meningkat pada tahun lalu … lebih satu pertiga daripada migran yang pergi ke Arab Saudi berbuat demikian melalui Program Pengesahan Kemahiran oleh agensi Saudi, Takamol,” kata Hossain.

“Hanya tiga hingga empat bulan lalu, kami hanya mampu mengesahkan 1,000 pekerja mahir sebulan. Tetapi kini, kami boleh menjalankan ujian melalui 28 pusat yang diluluskan Arab Saudi di seluruh negara, yang mampu mengesahkan sekitar 60,000 tenaga kerja mahir setiap bulan untuk pasaran buruh Kerajaan itu.”

Pada Khamis, BMET mula menyediakan latihan dalam sektor perlombongan, selaras dengan hasrat Bangladesh untuk menghantar pekerja mahir dalam sektor tersebut ke Arab Saudi.

“Terdapat permintaan besar terhadap pekerja perlombongan mahir di Arab Saudi kerana ia sebuah negara kaya minyak,” kata Hossain.

“Kami sedang berusaha untuk melahirkan tenaga kerja yang benar-benar mahir bagi pasaran buruh Arab Saudi.”

Pada Oktober lalu, Arab Saudi dan Bangladesh menandatangani perjanjian pekerjaan baharu yang memperkukuh perlindungan pekerja, pembayaran gaji, serta kebajikan dan perkhidmatan kesihatan.

Perjanjian itu juga membuka lebih banyak peluang dalam sektor pembinaan dan projek utama di bawah Wawasan 2030, yang dijangka mewujudkan sehingga 300,000 pekerjaan baharu untuk pekerja Bangladesh pada 2026.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img