ENAM lelaki termasuk tiga beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mencederakan tiga lelaki menggunakan parang sehingga cedera parah di hadapan sebuah restoran di Lukut, Port Dickson pada Disember lalu.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh iaitu K A Yogentheran, 31 (pekebun), K A Kugentheran, 26 (bekerja buruh), K A Sinielkumar, 24 (kelindan lori), S Sathia Moorthy, 29 (kerja sambilan), K Muniswaran, 21 (kelindan lori) dan A Shelan, 27 (juruteknik) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Kesemua mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap tiga lelaki berusia 36, 31 dan 43 tahun dengan menetaknya menggunakan senjata parang yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika disabitkan, lapor Harian Metro.


