SEBANYAK 30 rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air di Jalan Dedaru 11, Kampung Teluk Jawa di Johor Bahru hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 7.04 pagi, sebelum tiga jentera Fire Rescue Tender dan sebuah Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 28 anggota digegaskan ke lokasi.

Beliau berkata kebakaran itu melibatkan struktur sementara berdinding kayu, beratap zink dan berlantaikan papan dengan keluasan dianggarkan 200×200 kaki persegi.
“Kebakaran melibatkan 30 rumah yang musnah kira-kira 90 peratus, dan turut mengakibatkan kerosakan pada dua bot berenjin, sebuah kereta dan enam motosikal,” katanya dalam kenyataan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan semua penghuni berjaya keluar sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba.
Sehingga kini, operasi masih diteruskan dan kerja-kerja overhaul sedang dijalankan.


