EMPAT individu termasuk seorang warga Hong Kong ditahan selepas polis membuat serbuan ke atas sindiket perjudian ‘mini kasino’ di Bukit Damansara, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan kira-kira 3.30 petang itu dijalankan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur di sebuah premis pejabat di Jalan Gelenggang.
Beliau berkata, suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 49 tahun.
“Siasatan mendapati sindiket ini mengurus, menganjur dan mempromosikan perjudian jenis mini kasino. Mereka menggunakan laman web dan platform media sosial untuk mempromosikan aktiviti tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata,sindiket aktif sejak 2022 itu menyasarkan negara di rantau Asia seperti Taiwan, Korea, Filipina dan Thailand sebagai lokasi penganjuran.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi penuh sindiket ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63.


