SERAMAI 4,000 individu dijangka dilepaskan daripada status kebankrapan menerusi pelaksanaan kaedah fast track oleh Jabatan Insolvensi Malaysia sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu memberi keutamaan kepada golongan ibu dan bapa tunggal bagi membantu mereka keluar daripada belenggu kebankrapan.
Menurutnya, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam meringankan beban rakyat menjelang musim perayaan.
“Jabatan Insolvensi Malaysia akan melaksanakan ikhtiar perlepasan kebankrapan secara fast track khusus untuk 4,000 individu terutama dari kalangan ibu dan bapa tunggal yang akan dibebaskan dari belenggu kebankrapan sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri ,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, orang ramai boleh merujuk kenyataan penuh Pejabat Perdana Menteri bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai rangkuman keseluruhan inisiatif sempena Aidilfitri.


