41 keluarga dipindahkan ke PPS Kampung Ijok

SERAMAI 136 penduduk daripada 41 keluarga di sekitar kawasan Ijok, Kuala Selangor terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Ijok berikutan banjir yang masih belum surut sejak pagi semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Ijok, Ruzaiman Ahmad berkata, kawasan perumahan berhampiran sungai masih mencatat paras air tinggi, manakala kawasan rendah menunjukkan penurunan perlahan.

Beliau berkata, pihak JPKK telah membaiki kemudahan asas di PPS dan meningkatkan pemantauan keselamatan terhadap kenderaan penduduk.

Ruzaiman Ahmad

“Selain menguruskan kemudahan di PPS, kami membantu penduduk memindahkan kenderaan ke kawasan tinggi dan menugaskan anak-anak muda untuk memantau keselamatan. Kami juga membuat aduan kepada polis bagi mempertingkatkan rondaan di kawasan terjejas.

“Keadaan banjir mula menunjukkan tanda pada Ahad (malam), ketika itu hanya dua atau tiga keluarga terpaksa berpindah secara segera walaupun air belum memasuki rumah,” katanya ketika ditemui utusanmelayuplus hari ini.

Tambahnya, menjelang Subuh, paras air semakin meningkat dan semakin ramai penduduk berpindah ke kawasan masjid sebelum PPS dibuka sepenuhnya.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Hasnulhatimah Hilmy, 64, berkata, banjir kali ini merupakan pengalaman mereka saban tahun.

“Setiap tahun memang begini. Saya terpaksa berpindah bersama cucu selepas air mula memasuki rumah sekitar jam 5 pagi, menenggelamkan halaman sebelum masuk ke bahagian dalam rumah. Barang pun tak sempat tengok mana yang rosak,” katanya.

Hasnulhatimah Hilmy

Seorang lagi mangsa, Mohamad Nazam Mohammed Ijas, 34, berkata, rumahnya dinaiki air setinggi 0.5 meter.

“Air naik terlalu cepat. Saya dan keluarga sempat mengalihkan perabot dan menyelamatkan beberapa dokumen penting sebelum keluar menyelamatkan diri. Setiap kali hujan lebat, kami mula bersedia kerana memang tahu air akan naik, tetapi kali ini agak teruk daripada kebiasaan,” katanya.

Mohamad Nazam Mohammed Ijas

Dalam pada itu, tinjauan utusanmelayuplus mendapati terdapat anggota Tentera Darat dari 4 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Tapah, Perak turun padang ke kawasan terjejas bagi membuat pemantauan dan memberikan bantuan kepada keluarga mangsa di PPS.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img