SUDAH 47 hari sejak perjanjian gencatan senjata yang ditaja Presiden AS Donald Trump ditandatangani. Ketika ia diumumkan, rakyat Palestin merasakan sedikit kelegaan selepas dua tahun pengeboman berterusan, kebuluran, pengusiran paksa dan pelbagai bentuk kekejaman.
Namun, hampir serta-merta selepas gencatan senjata diumumkan — ketika Trump menyifatkannya sebagai “fajar bersejarah Asia Barat baharu” — Israel kembali menyerang Gaza.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Sabtu lalu, Israel telah melanggar gencatan senjata itu lebih 490 kali dalam tempoh 44 hari, membunuh 342 orang awam.
Serangan terbaru berlaku pada Khamis, apabila 32 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan di seluruh Gaza. Satu keluarga di kem Nuseirat, Gaza tengah, dipadamkan sepenuhnya daripada daftar penduduk apabila rumah mereka dibom.
Pada hari itu — hari yang kelihatan biasa seperti selepas dua tahun genosid — penduduk masih mencari makanan dan air; ada yang membaiki khemah usang, manakala yang lain meratapi kehilangan orang tersayang akibat serangan lalu. Namun sekali lagi, Israel memecahkan suasana yang kononnya “tenang”.

Selain serangan langsung, pelanggaran Israel turut melibatkan penggunaan kebuluran sebagai senjata perang, walaupun rakyat Gaza telah melalui dua tahun kelaparan.
Menurut Program Makanan Sedunia (WFP), hanya separuh daripada bantuan makanan yang diperlukan sampai ke Gaza.
Penduduk pula mengatakan jumlah bantuan sebenar hanyalah seperempat daripada apa yang dipersetujui dalam gencatan senjata. Israel turut menghalang kemasukan makanan berkhasiat seperti daging, produk tenusu dan sayur-sayuran, serta ubat, khemah dan bahan perlindungan — sambil membanjiri pasaran Gaza dengan produk diproses berkalori tinggi.
Presiden Trump dalam satu pertemuan dengan wartawan Palestin minggu lalu mendakwa “banyak kemajuan dicapai,” rakyat Palestin “menyukainya” dan mereka “dalam keadaan baik”.
Namun bagi penduduk Gaza, gencatan senjata yang diuruskan Trump hanyalah perlindungan politik untuk meneruskan pengusiran, pembantaian, dan pemadaman identiti rakyat Palestin di Gaza.
Walaupun begitu, Israel terus menerima sokongan diplomatik, kewangan dan ketenteraan yang luar biasa.
Terbaru ialah Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB yang diterima pada 17 November — disifatkan pemerhati sebagai “hari memalukan” — yang menyokong pelan 20 perkara Trump untuk Gaza, satu pelan yang dilihat rakyat Palestin sebagai usaha menggugurkan hak mereka untuk mentadbir tanah air sendiri!


