47,000kg baja dirampas dalam serbuan di kilang haram

SEJUMLAH 47,000 kilogram baja sebatian dan kimia bernilai RM771,000 berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah kilang haram di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU) menerusi Op Taring Bravo 3 hari ini.

Operasi khas itu dijalankan oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

GAMBAR: Briged Utara PGA

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner M Balveer Singh berkata, dalam serbuan tersebut, lima lelaki terdiri daripada tiga warga tempatan serta masing-masing seorang warga Indonesia dan Myanmar yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses baja secara haram tanpa kelulusan pihak berkuasa telah ditahan.

“Pemeriksaan di kilang berkenaan menemukan sejumlah besar baja yang sedang diproses selain pelbagai mesin dan jentera yang digunakan untuk aktiviti pemprosesan.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibuat di sebuah kilang di kawasan Tasek Gelugor dan siasatan awal mendapati premis haram itu telah beroperasi sejak enam tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, modus operandi sindiket adalah mendapatkan baja sebatian dan kimia bersubsidi secara tidak sah sebelum diproses semula dengan campuran bahan lain bagi meningkatkan kuantiti.

“Baja tersebut kemudian dibungkus semula menggunakan bungkusan berbeza sebelum dijual di pasaran untuk kegunaan tanaman.

“Antara yang dirampas adalah pelbagai mesin dan jentera memproses baja serta sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengangkutan,” ujarnya.

Beliau menambah, kes itu diserahkan kepada KPDN Pulau Pinang dan pemilik kilang disiasat mengikut Seksyen 21(1) Akta Bekalan Kawalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

“Dua pekerja warga asing turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Pemilik kilang juga disiasat mengikut Seksyen 55B akta sama kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Selain itu katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis heroin dan mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pemilik premis turut dikenakan kompaun oleh MPSP kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah mengikut Undang-undang Kecil Bayaran Lesen 1980.

“Kita akan terus mempergiatkan pengawasan dan rondaan di Perak, Pulau Pinang, Kedah serta Perlis bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img