53 kontena besi, skrap aluminium seludup bernilai lebih RM9 juta berjaya dirampas

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur menumpaskan cubaan menyeludup masuk besi dan skrap aluminium melalui Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara di Selangor selepas merampas sejumlah 53 kontena berisi muatan berkenaan, baru-baru ini.

Kejayaan itu hasil operasi yang dijalankan antara 28 Ogos hingga 5 September lalu oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan SIRIM Berhad.

Pengarah JKDM Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, pemeriksaan mendapati 35 kontena mengandungi struktur keluli (steel structure) untuk kegunaan industri pembinaan, manakala 18 kontena lagi mengandungi skrap aluminium dan logam.

Menurut beliau, jumlah berat keseluruhan muatan adalah 956,686 kilogram (kg) dengan nilai dianggarkan RM9,028,888, termasuk duti dan cukai import.

“Pengimportan besi jenis steel structure bagi kegunaan industri pembinaan memerlukan Sijil Perakuan (COA) daripada CIDB, manakala pengimportan skrap aluminium serta logam memerlukan kelulusan SIRIM.

“Siasatan awal mendapati kontena terbabit dipercayai melibatkan sebuah syarikat dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya lapor Sinar Harian. Beliau ditemui dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Kuala Lumpur di Kelana Jaya hari ini. Yang turut hadir, Pengarah CIDB Kuala Lumpur, Datuk Dr Ts Gerald Sundaraj.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Sektor Pendaftaran & Akreditasi CIDB, Suhaimi Mansor berkata, kemasukan besi bagi tujuan industri tanpa kelulusan CIDB memberi risiko dari aspek kualiti dan keselamatan.

“Kualitinya dibimbangi berada di bawah standard yang dibenarkan dan boleh membahayakan orang awam,” ujarnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img