SEBANYAK 675 spesies ikan larangan berserta 304 kura-kura dan labi-labi bernilai lebih RM335,000 dirampas dalam operasi bersepadu membanteras penjualan hidupan akuatik larangan di sekitar Jalan Pudu, Kuala Lumpur, hari ini.
Operasi dijalankan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dengan kerjasama Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), selain Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengarah Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Suhanah Kassiron berkata, enam premis diperiksa dan antara spesies ikan larangan disita termasuk Arapaima, Sturgeon, Midas, Peacock bass, udang kara Cambaridae, Baung Ekor Merah Amazon, Pacu dan Flowerhorn.
“Spesies itu dilarang kerana sifatnya invasif dan berisiko tinggi menjejaskan biodiversiti perairan, serta menggugat populasi ikan asli tempatan sekiranya terlepas ke perairan.
“Semua ikan disita akan ditempatkan di Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tujuan tindakan lanjut,” katanya ketika sidang media selepas operasi itu hari ini.
Turut hadir Timbalan Komander WCB/ PSK Bukit Aman, Superintendan Mohd Redzuan Zainol Abidin dan Penolong Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Celescoriano Razond.
Suhanah berkata, semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut Akta Perikanan 1985 (Akta 317), Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import bagi Ikan) 1990 (Pindaan 2024) dan Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan 2017.
Selain itu, ia juga membabitkan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).


