Sembilan aktivis Malaysia yang kini ditahan di Penjara Ketziot, Israel dijangka dibebaskan dalam tempoh 72 selepas menandatangani borang ‘Permohonan Untuk Pelepasan Segera’.
Sehubungan itu Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar telah dinasihatkan menandatangi borang berkenaan jika diminta oleh pihak Israel.
“Proses rundingan itu masih berlangsung dan kita sedang menunggu maklumat daripada peguam, mungkin petang ini, memandangkan ketika ini di sana masih awal pagi. Kalau ada perbicaraan tribunal, kitaa kan dimaklumkan kemudian,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE, di Serdang hari ini.
Kamarul Zaman berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, sudah berhubung dengan rakan sejawat kerajaan Turkiye untuk membantu urusan penghantaran pulang delegasi Malaysia.
Menurut beliau, pihaknya sudah berhubung dengan Wisma Putra bagi urusan pembebasan dan membawa pulang kesemua delegasi Malaysia yang ditahan secara haram oleh pihak berkuasa Israel.
Terdahulu, sembilan kapal misi Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) yang dipintas tentera Israel tiba di Pelabuhan Ashdod.
Kapal Conscience yang membawa lapan rakyat Malaysia tiba di pelabuhan pada jam 12.45 tengah malam, manakala kapal terakhir Umm Saad yang dinaiki seorang lagi rakyat Malaysia tiba pada 6 pagi waktu Malaysia.
Sembilan rakyat Malaysia adalah ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil; dua pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh serta Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Rakyat Malaysia yang berada dalam kapal Umm Saad pula adalah Dr Maziah Muhammad.
Misi itu dijalankan di bawah gabungan FFC dan TMTG, dengan 10 bot berlepas pada 27 September lalu dari Itali, manakala kapal Conscience dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan peserta berlepas pada 30 September. Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.