PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menetapkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter bagi memastikan penggunaan bahan api terus memanfaatkan rakyat dan secara keseluruhan.
Katanya, penggunaan (BUDI95) itu licin dan teratur serta menyifatkan ia suatu kisah sukses yang membanggakan.
‘’Sebanyak 3.1 juta urus niaga dalam satu hari dijalankan dengan baik. Penggunaan sekarang ini sekitar 100 liter, walaupun kita (kerajaan) memberi sehingga 300 liter, dan 90 peratus rakyat yang menggunakan BUDI95 tidak melebihi 200 liter sebulan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah penjimatan yang dicapai melalui pelaksanaan BUDI95 sepanjang 2025, unjuran penjimatan bagi 2026 serta bagaimana penjimatan itu digunakan.
Anwar berkata ia merupakan berita baik bagi negara kerana tidak banyak negara yang berani mengambil pendirian melaksanakan penyasaran subsidi memandangkan risikonya serta cabaran dari segi penerimaan rakyat.
“Namun, Alhamdulillah, langkah itu berjaya dilaksanakan dan diterima dengan baik. Pertama, kita tidak mempunyai banyak pilihan kerana ketirisan akibat subsidi tidak bersasar terlalu tinggi.
“Kedua, kita mengakui keadaan semasa adalah lebih baik sekiranya pelaksanaan dibuat secara berfasa tanpa menjejaskan kebajikan rakyat terbanyak. Itu prinsip yang kita pegang,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan tidak memilih pendekatan pengapungan harga seperti disaran Bank Dunia dan beberapa pakar ekonomi kerana ia disifatkan akan membebankan majoriti rakyat.
Katanya, apa yang dikakukan kerajaan ialah melaksanakan penyasaran subsidi yang berjaya melindungi 85 peratus rakyat serta menjimatkan RM6 bilion bagi petrol dan RM5 bilion bagi diesel.
Beliau berkata sekiranya harga diapungkan, dianggarkan hanya keluarga berpendapatan sekitar RM13,000 sebulan ke atas tidak menerima bantuan, manakala selebihnya akan diberikan bantuan.
Dalam pada itu, Anwar berkata sindiket penyeludupan ke negara jiran juga berjaya dibendung, beliau menghargai keprihatinan rakyat yang menegur serta menyalurkan maklumat apabila terdapat cubaan warga asing membeli RON95.
“Sikap ini wajar dipuji — bukan sahaja mempertahankan hak sebagai rakyat Malaysia, malah mencerminkan semangat kenegaraan dan jati diri,” katanya.
Beliau berkata penyasaran subsidi RON95 dijangka menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion tahun ini, tertakluk kepada pergerakan harga minyak mentah dunia dan kadar pertukaran mata wang.
“Hasil penjimatan fiskal telah diagih semula kepada rakyat. Penjimatan ini dapat membiayai penambahan bantuan rakyat, khususnya Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya.
Selepas pelaksanaan BUDI95, beliau ketirisan secara keseluruhan berjaya dikurangkan dengan ketara, bagaimanapun beliau mengakui masih terdapat beberapa kes terpencil yang telah dan sedang dikenal pasti.
“Masih ada kes dikesan di beberapa stesen minyak di kawasan sempadan termasuk di Rantau Panjang, Tawau dan Perlis, menunjukkan corak penggunaan mencurigakan.
“Itu tiga kawasan mencatat ketirisan tertinggi dan pengawasan serta penguatkuasaan kini lebih tertumpu di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kehilangan hasil,” katanya.


