SERAMAI 55 pemimpin dan organisasi dari seluruh Asia diiktiraf dalam majlis Anugerah ESG PLUS 2025 yang turut menghimpunkan lebih 300 tokoh korporat dan pengamal kelestarian bagi mengangkat agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di rantau ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, organisasi masa kini tidak lagi boleh dinilai berdasarkan keuntungan semata-mata.
“Keuntungan semata-mata bukan lagi ukuran tunggal kejayaan. Organisasi kini semakin dinilai berdasarkan nilai yang mereka junjung serta tanggungjawab yang mereka laksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sebuah hotel di ibu negara hari ini.
Menurut Noraini, ESG kini menjadi keperluan strategik kepada daya saing jangka panjang.

“ESG hari ini bukan lagi sesuatu yang pilihan. Ia merupakan keperluan strategik bagi Malaysia dan rantau ini.
“Syarikat yang mengamalkan ESG dalam strategi mereka lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi ketidaktentuan,” jelasnya.
Dalam aspek pelaburan pula, beliau berkata, pelabur global kini memberi tumpuan kepada syarikat yang menunjukkan prestasi ESG kukuh.
“Pelabur di peringkat rantau dan global semakin mengutamakan syarikat yang mempunyai prestasi ESG yang baik. Pelaporan telus, tadbir urus yang kukuh dan impak yang boleh diukur kini menjadi keperluan untuk menarik pembiayaan mampan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi ESG PLUS Awards 2025, Puan Sri Datuk Akmal Abdul Salam berkata, penerima anugerah tahun ini menunjukkan kepimpinan yang memberi impak besar kepada industri dan komuniti.
“Penerima anugerah tahun ini mencerminkan bagaimana kepimpinan berwawasan boleh membentuk semula industri dan mempercepatkan perjalanan Asia ke arah masa depan yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan,” katanya.
Difahamkan, majlis ini menerima lebih 400 pencalonan merentasi pelbagai sektor termasuk tenaga, teknologi, kesihatan, kewangan, makanan dan minuman, pelancongan, hartanah, pendidikan dan pembangunan komuniti.


