POLIS membuka kertas siasatan bagi menyiasat penganjuran program anjuran kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Glamping With Pride yang dirancang bakal diadakan pada 17 dan 18 Januari depan di Hulu Langat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, setakat ini pihaknya menerima sebanyak lima laporan polis berhubung penganjuran program, susulan aduan pertama.
Menurutnya, aduan pertama polis diterima pada 8 Januari lalu jam 6.10 petang berkaitan iklan program tersebut.
“Program ini dipercayai boleh mendatangkan masalah sosial dan melanggar tata susila.
“Setakat ini, Polis Daerah Kajang menerima lima laporan polis merujuk kepada aduan yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
“Masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa menjaga tata susila dan tidak melakukan perkara yang dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkit pecah keamanan,” katanya.
Katanya, tindakan tegas berlandaskan undang-undang juga akan diambil jika aktiviti sebegini diteruskan.
“Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Nur Ayuni Abd Aziz di talian 016-208 0717 bagi membantu siasatan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan sebuah kumpulan pro LGBT menyatakan mereka akan meneruskan program Glamping With Pride di Hulu Langat hujung minggu depan walaupun mendapat bantahan.
Kumpulan dikenali sebagai Jejaka itu menegaskan program selama dua hari itu adalah retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.
Kumpulan itu turut menegaskan bahawa aktiviti sebegitu tidak melanggar undang-undang negara.


