Polis  sahkan bekas wartawan ditahan, disiasat di bawah Akta Hasutan, dibebaskan petang ini

BEKAS wartawan FMT, Rex Tan, yang ditahan awal pagi tadi, dijangka dibebaskan petang ini.

Peguamnya, Rajsurian Pillai berkata Tan, 31, dijangka dibebaskan sekitar jam 5 petang hari ini.

Beliau berkata polis pada awalnya memohon perintah reman selama empat hari daripada Majistret Farah Nabihah Dan, namun hanya dibenarkan reman selama satu hari.

“Polis sedang merakam keterangannya,” kata beliau.

Sementara itu dalam satu kenyataan hari ini,  Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, kira-kira 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata siasatan dijalankan susulan pertanyaan wartawan Free Malaysia Today (FMT) berkenaan kepada ahli politik United Kingdom, George Galloway, dalam wacana terbuka pada 12 Jan lepas itu, disyaki berbaur perkauman dan hasutan.

“Dalam sesi tersebut, wartawan berkenaan telah membuat pertanyaan mengenai isu Palestin dengan membandingkannya dengan keadaan perkauman di Malaysia.

“Setakat ini, sebanyak tiga laporan polis telah diterima berkaitan isu yang sama, sekali gus mencerminkan kegusaran orang awam terhadap insiden berkenaan,” katanya.

Kumar berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang dipercayai menimbulkan hasutan serta permusuhan dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial demi memelihara ketenteraman awam.

Semalam, wartawan berkenaan memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya dan amat kesal terhadap soalan itu, selain mengakui soalan berkenaan kurang relevan dengan acara dan tidak mengambil kira sensitiviti topik.

Dia memohon maaf kerana menyebut kaum Cina dan Melayu dalam soalan itu, dengan menegaskan bahawa rujukan tersebut tidak perlu dan sepatutnya dielakkan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img