Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya menumpaskan cubaan menyeludup bir, cerut dan beras bernilai RM5.75 juta menerusi dua pemeriksaan berasingan di Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara, bulan lepas.
Pengarah Kastam Selangor Mohamad Azhar Ahmad Pohazri berkata pemeriksaan pertama ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat pada 18 Disember menemukan 37,218 liter bir bernilai RM1.39 juta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati dagangan berkenaan yang dipercayai tidak mempunyai permit import telah mengemukakan deskripsi yang tidak tepat dan dikesan memasuki pelabuhan pada 18 November dari sebuah negara di rantau Asia.
“Pengimportan minuman keras tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kastam sebagaimana digariskan di dalam Butiran 67, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya pada sidang media hari ini, lapor Bernama.
Mohamad Azhar berkata, pemeriksaan kedua yang dijalankan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Utara pada 29 Dis berjaya menemukan 6,250 kilogram (kg) cerut dan 3,900 kg beras bernilai RM4.35 juta.
“Siasatan turut mendapati barangan berkenaan telah diikrarkan secara tidak benar sebagai kasut bagi mengelak keperluan permit import.
“Siasatan awal mendapati kontena berkenaan tiba di Pelabuhan Klang pada 12 Oktober lepas dan dagangan itu juga berasal dari sebuah negara di Asia,” katanya.
Mohamad Azhar berkata, cerut berkenaan disyaki untuk memenuhi pasaran warga asing di sini manakala beras berkemungkinan untuk pasaran umum dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.


