AHLI Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz hari ini meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan bagaimana Tan Sri Mohd Nizam Jaafar boleh dipilih oleh Majlis Angkatan Tentera (MAT) menjadi Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-23.
Katanya, Mohd. Nizam sebelum ini tidak pernah memegang jawatan Ketua Turus Tentera Darat atau Panglima Tentera Darat.

‘’Jika dalam terma tentera, beliau ini “tiada currency” atau nilai “command” dalam kepimpinan atasan ATM. Apakah asas dan justifikasi oleh MAT sehingga beliau dipilih sebagai PAT melangkau terlalu ramai panglima perkhidmatan sedangkan beliau tiada pengalaman memegang tanggungjawab besar selaku panglima perkhidmatan sebelum itu?,’’ soalnya ketika membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Ikmal Hisham yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan berkata, MAT perlu menjelaskan juga apakah bentuk tapisan keselamatan halus yang dibuat sebelum mana-mana nama individu dipertimbangkan bagi memegang jawatan penting seperti PAT ataupun panglima perkhidmatan sedangkan individu-individu ini sangat “vulnerable” terhadap tindakan “blackmail” atau ancaman dari dalam dan luar.
‘’Bukankah situasi ini akan mengancam keselamatan negara, tetapi mereka ini tetap dipilih oleh MAT untuk dilantik memegang jawatan tertinggi ATM,’’ katanya.
Beliau meminta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, apakah sudah menjadi amalan baharu MAT untuk melantik dan memperaku PAT yang tidak pernah memerintah mana-mana perkhidmatan masing-masing.
‘’ …Serta adakah pelantikan Tan Sri Mohd Nizam Jaafar oleh MAT yang melangkau beberapa jawatan utama dalam tentera ke posisi PAT akan kekal menjadi amalan pada masa-masa hadapan kerana sudah wujud “precedent” kes sebelum ini?,’’ soal beliau.
Mohd. Nizam menjadi Panglima ATM ke-23 dari 31 Januari 2025 sehingga 27 Disember 2025.
Pada 23 Januari lalu, Mohd Nizam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah RM752,481.90 serta pecah amanah wang RM3 juta.


