Jika mansuh jawatan Pengerusi, PN berisiko dikenakan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan – Takiyuddin

TIMBALAN Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu berisiko dikenakan tindakan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (jika memansuhkan jawatan pengerusi gabungan itu.

Beliau menegaskan, keadaan itu berlaku kerana jawatan tersebut tidak boleh diubah kerana termaktub dalam perlembagaan PN.

“Pendirian Pas jelas berdasarkan surat Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang), kami mahu struktur PN kekal sebagaimana dalam Perlembagaan.

“Tak boleh diubah, kalau diubah ia tindakan tidak berperlembagaan. Mungkin tindakan boleh diambil pihak berkuasa, terutama JPPM,” katanya pda  sidang media bersama Ahli Parlimen Pas dan Bersatu di Bangunan Parlimen hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab tindakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa parti itu dan Pas mencapai persetujuan memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian penstrukturan semula gabungan itu, menurut surat bertarikh 27 Jan lalu.

Katanya, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui majlis presiden PN, manakala Pas mengetuai jawatankuasa eksekutif.

Bagaimanapun tiga pemimpin utama Pas iaitu Takiyuddin, Abdul Hadi dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan kenyataan Muhyiddin dan menegaskan  parti itu hanya setuju memperkasakan majlis presiden sedia ada.

Takiyuddin turut memaklumkan pihaknya tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap semua butiran dalam surat itu, khususnya berkaitan cadangan pembentukan Majlis Presiden PN dan pemansuhan jawatan pengerusinya.

Beliau turut mengulangi pertemuan pemimpin Pas yang diketuai Abdul Hadi dengan Muhyiddin pada 16 Januari lalu langsung tidak membincangkan kedudukan pengerusi PN dan pemansuhan jawatan tertinggi itu.

Takiyuddin berkata, Hadi tidak akan bersetuju dengan pemansuhan jawatan itu.

“Ia mesti kekal sebagaimana ada dalam Perlembagaan.”

Sementara itu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan tidak dijemput untuk hadir dalam mesyuarat awal (pra-majlis) di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini.

Ketua Pembangkang itu berkata, jika tiada jemputan, beliau tidak boleh menghadiri acara berkenaan yang akan diadakan pada malam ini.

“Bukan macam itu, (sepatutnya soalan begini) adakah Datuk Seri dijemput untuk menghadiri mesyuarat ini?

“Jemput pun tidak, nak suruh hadir macam mana?,” katanya



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img