JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menahan sejumlah 52 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikesan menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain dalam serbuan di sebuah kilang di Shah Alam hari ini.
Kebanyakan PATI ini merupakan warga Filipina berketurunan Suluk, didapati menggunakan kad pengenalan palsu atau milik orang lain itu bagi mendapatkan kerja termasuk menerima gaji.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Sarinah Apisah berkata, dalam operasi bermula jam 2.30 petang itu, kesemua PATI yang ditahan berusia antara 25 hingga lingkungan 60-an dan berasal dari Filipina dan Indonesia.
“Berdasarkan tangkapan ini, kebanyakan mereka memberikan alasan menggunakan MyKad orang lain kerana ejen yang bawa. Ada yang tak pegang MyKad dan ejen uruskan.
“JPN akan siasat sama ada terdapat elemen sindiket atau kerelaan oleh warga tempatan yang menyerahkan MyKad. Kita akan kesan pemilik IC (kad pengenalan) itu,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi berkenaan, lapor BH.
Sarinah dalam pada itu berkata, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke JPN Putrajaya untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes diklasifikasi itu mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Pasukan operasi turut mendapat kerjasama daripada pengurusan kilang bagi membuat semakan nombor kad pengenalan mereka,” katanya.
Sementara itu, salah seorang lelaki warga asing terbabit yang mendakwa berasal dari Semporna, Sabah, Jabar Abdul, 49, ketika pemeriksaan lanjut mengakui menggunakan kad pengenalan milik orang lain untuk bekerja di kilang berkenaan.
“Gaji saya akan dimasukkan ke dalam akaun banknya (pemilik kad pengenalan). Ketika hari gaji, dia akan mengambil sedikit wang gaji saya itu, sebelum bakinya diserahkan kepada saya.
“Saya masuk ke sini diuruskan oleh ejen dengan bayaran RM1,000. Saya tidak tahu menahu berkenaan kad pengenalan,” katanya.



