RESTORAN nasi kandar di daerah Seremban yang tular kerana didakwa mencuci sisa lauk untuk dimasak semula dikenakan kompaun dan arahan tutup selama 14 hari.
Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban bersama Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memeriksa premis itu, petang semalam.
“Kami mengambil maklum aduan yang tular di media sosial mengenai pengendali makanan yang mencuci saki baki makanan seperti daging ayam, daging kambing dan tauhu.
“Ia didakwa daripada lebihan masakan yang tidak habis dijual untuk dimasak semula pada keesokan hari dipercayai berlaku di sebuah restoran di Seremban.
“Jabatan ini sudah menjalankan siasatan terhadap restoran berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Jelasnya, pemilik restoran dikenakan tindakan penguatkuasaan dan diarahkan penutupan premis mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“JKNNS memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan. Justeru itu, orang ramai terutama pemilik, pengusaha dan pengendali makanan diwajibkan untuk memastikan aspek keselamatan makanan terjaga.
“Pengabaian ke atas aspek kebersihan dan keselamatan makanan boleh menyebabkan kejadian keracunan makanan.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan makanan dengan mengamalkan ‘Perhati dan Pilih’ ketika memilih premis makanan serta amalkan Lihat Hidu Rasa kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan,” katanya.
Sementara itu, MBS turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM750 kepada pemilik perniagaan antaranya kerana kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran MBS.
Dua kesalahan lagi adalah mempamerkan iklan tanpa kebenaran MBS dan tidak menjaga kebersihan serta tiada jadual pembersihan tandas.


