SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini, selepas mengaku bersalah menumbuk muka isterinya akibat perselisihan faham berhubung isu mengalih kereta.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faizal Idris, 44, dan memerintahkan pemenjaraan bermula dari tarikh tangkapan pada 1 Februari lalu.
Dalam penghakimannya, beliau meneliti fakta kes serta menimbang rayuan tertuduh dan hujah pendakwaan lapor Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Masirah Misdi, 43, dengan menumbuk muka mangsa di rumah mereka di Jalan Bukit Rambai, pada 1 Februari lalu, kira-kira pukul 2 pagi.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan boleh juga didenda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, mangsa mahu membawa anak perempuan mereka berusia 16 tahun ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan selepas mengadu sakit pada lengan.
Namun, keretanya terhalang oleh kenderaan tertuduh dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka apabila mangsa meminta kunci kereta untuk mengalihkannya.
Pertengkaran itu berakhir apabila tertuduh bertindak menaburkan bedak ke atas kepala isterinya sebelum menumbuk muka mangsa di sebelah kiri hingga bengkak.
Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak yang membawa kepada penangkapan tertuduh.
Pemeriksaan oleh pegawai perubatan Hospital Melaka mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian muka kiri.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan baru dua minggu bekerja.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.


