Bekas pensyarah didakwa lepaskan tembakan ketika merompak bank di Shah Alam

SEORANG bekas pensyarah dihadapkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini atas pertuduhan melepaskan tembakan semasa melakukan rompakan bank, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Chia Kong Wee mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Suriyati Hasimah Mohd Hashim.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan mengaku melepaskan dua das tembakan di sebuah bank di Glenmarie pada 3 Jun 2019.

Berdasarkan fakta kes, Kong Wee memantau keadaan di bank tersebut sebelum melakukan rompakan pada hari kejadian.

Dia memasuki bank kira-kira jam 3.50 petang dengan memakai topeng dan mengacukan senjata api ke arah seorang pengawal keselamatan sebelum melepaskan tembakan pertama ke arah siling.

Tertuduh kemudian mengarahkan pelanggan supaya meniarap di lantai dan mendesak pegawai bertugas menyerahkan semua wang yang berada dalam jagaan mereka.

Dia kemudiannya melepaskan tembakan kedua, juga ke arah siling.

Pegawai bank yang bimbang akan nyawa mereka, menyerahkan RM61,000 kepada tertuduh, manakala RM76,220 diambil dari bilik wang tunai bank tersebut. Mereka memaklumkan polis mengenai rompakan itu selepas Kong Wee melarikan diri.

Pada 3 Mac 2022, tiga tahun selepas kejadian, polis menerima maklumat dan mengekori sebuah kenderaan hitam yang menuju ke sebuah bank.

Polis menahan tertuduh ketika dia keluar dari kenderaan tersebut dan merampas sepucuk pistol Walther P99 yang berisi lapan butir peluru, selain satu kelopak peluru kosong yang ditemui di dalam kenderaan.

Polis turut menemukan jaket hitam dan hijau yang dipakai Kong Wee semasa rompakan beberapa tahun sebelum itu.

Hakim Suriyati Hasimah menetapkan 11 Februari depan untuk jatuh hukum.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img