AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk daging haiwan dan hasil pertanian yang tidak mematuhi syarat import menerusi rampasan tiga barangan bernilai lebih RM900,000 di Pelabuhan Klang Barat di Klang, hari ini.
Rampasan itu melibatkan daging itik sejuk beku, daging babi sejuk beku serta biji kopi yang didapati tidak mematuhi peruntukan permit import dan pensijilan ditetapkan pihak berkuasa.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai AKPS ke atas beberapa kontena dagangan di Tapak Pemeriksaan Kontena CFS4.
Menurutnya, hasil pemeriksaan fizikal itu mendapati tiga barangan tidak mematuhi syarat serta peruntukan undang-undang sedia ada.
“Pemeriksaan kira-kira jam 11.45 pagi mendapati konsainan daging itik sejuk beku dari Ireland diimport tanpa permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang sah.
“Jumlah berat rampasan adalah 16,161.28 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM354,176.26,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan berasingan kira-kira jam 11.30 pagi pula menemukan 24,958.10kg daging babi sejuk beku dengan anggaran nilai RM461,371.43 dari Belgium yang tidak mematuhi syarat permit import MAQIS.
Nik Ezanee berkata, pemeriksaan seterusnya turut mengesan 3,500kg biji kopi dari Colombia dengan nilai dianggarkan RM100,608.33 yang diimport tanpa Perakuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 3P seperti ditetapkan di bawah undang-undang berkaitan.
“Kesemua barang dagangan terbabit telah disita bagi mencegah risiko kemasukan penyakit haiwan serta memastikan aspek keselamatan makanan dan kesihatan awam negara terus terpelihara,” katanya.
Jelas beliau, kes ini disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Secara keseluruhan rampasan melibatkan 44,619.38kg dagangan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM916,156.02.
“AKPS Pelabuhan Klang akan terus komited membanteras kemasukan barangan larangan dan dagangan yang tidak mematuhi peraturan,” katanya.
Tegas beliau, usaha tersebut penting bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan negara.


