SETIAP kali seorang Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilantik, yang berubah bukan sekadar kepimpinan tertinggi sebuah angkatan. Yang turut ‘berpindah’ adalah sebuah amanah besar dan bersama amanah itu terdapat harapan ribuan perajurit.
Harapan yang jarang diucapkan tetapi sentiasa terpahat dalam hati mereka yang memilih untuk berkhidmat ketika orang lain memilih kehidupan yang lebih mudah. Bagi warga tentera, Panglima bukan sekadar pemegang pangkat. Beliau adalah “kompas” ketika ketidaktentuan, penenang ketika cabaran dan lambang kesatuan yang menyatukan barisan di bawah satu panji kerana menjadi tentera bukan sekadar pekerjaan. Ia adalah janji untuk meletakkan negara mengatasi kepentingan diri.
Di sebalik setiap uniform ada kisah pengorbanan, malam yang panjang jauh daripada keluarga, perayaan yang berlalu dalam kesiapsiagaan dan rindu yang hanya dipendam. Namun mereka tetap berdiri kerana mereka tahu keamanan negara ini tidak pernah datang dengan sendiri sebab itu harapan warga angkatan sebenarnya tidak rumit.
Mereka hanya mahu dipimpin oleh seorang Panglima yang memahami bukan sahaja tentang strategi dan kekuatan tempur tetapi tentang manusia di sebalik kekuatan itu.
Kepimpinan tentera tidak boleh terpisah daripada kebajikan.
Bagi anggota bujang di barak, kesejahteraan adalah tempat berteduh setelah hari yang menuntut ketahanan fizikal dan mental. Bagi yang berkeluarga, ia adalah ketenangan fikiran keyakinan bahawa isteri atau suami, anak-anak dan keluarga sentiasa dalam perhatian kerana setiap keputusan di meja kepimpinan akan sampai denyutnya ke rumah-rumah kecil tempat keluarga perajurit menunggu dengan sabar.
Memimpin angkatan bererti memimpin sebuah keluarga besar.
Apabila seorang perajurit yakin keluarganya terpelihara, langkahnya menjadi lebih berani dan kesetiaannya tidak berbelah bahagi. Dari situlah lahir kekuatan sebenar tentera, kekuatan yang tidak boleh diukur hanya dengan aset atau persenjataan tetapi dengan kepercayaan, semangat dan keyakinan.
Namun amanah seorang Panglima melangkaui soal kesejahteraan. Ia adalah tanggungjawab memelihara maruah angkatan, memperkukuh profesionalisme dan memastikan institusi pertahanan ini terus berdiri teguh di mata rakyat kerana maruah tentera, sekali tercalar dirasai seluruh barisan.
Sesungguhnya jawatan Panglima bukan sekadar kedudukan, ia adalah beban kehormatan. Amanah terhadap anggota yang berkhidmat tanpa banyak suara terhadap keluarga yang setia menunggu dan terhadap negara yang tidak boleh dibiarkan rapuh.
Hari ini, warga ATM tidak hanya menerima seorang Panglima baharu. Mereka menyerahkan kepercayaan. Dan dalam dunia ketenteraan, tiada penghormatan lebih besar daripada kepercayaan barisan sendiri.
Apabila seorang Panglima memimpin dengan integriti dan hati, perajurit tidak perlu diminta untuk setia, mereka akan berdiri lebih teguh kerana mereka tahu kepimpinan di hadapan tidak pernah melupakan mereka yang berada di belakang.


