KARNIVAL Jualan Agro MADANI@Pasar Tani Kekal Putrajaya yang menawarkan barangan keperluan harian segar pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran menjadi antara inisiatif kerajaan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, sepanjang penganjurannya selama tiga hari bermula hari ini hingga 8 Februari, karnival itu bakal menghimpunkan pelbagai pengisian jualan agro, aktiviti komuniti serta inisiatif penjimatan rakyat di bawah satu platform bersepadu.

“Karnival ini bertujuan membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup dengan menyediakan barangan keperluan harian, khususnya makanan segar yang dijual terus daripada petani dan usahawan tani kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan karnival berkenaan di Pasar Tani Kekal Putrajaya, di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir; Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zulkipli; Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri serta pengurusan tertinggi kementerian dan agensi berkaitan.
Karnival itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Jualan Agro MADANI, iaitu penjenamaan semula kepada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Inisiatif itu turut mendapat kerjasama FAMA serta agensi di bawah kementerian sama termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Mengulas lanjut, Foong Hin berkata, karnival itu bukan sahaja membolehkan rakyat menikmati harga lebih rendah berbanding pasaran, malah memastikan bekalan segar, berkualiti dan mudah diakses di lokasi strategik seperti pasar tani kekal.
“Karnival Jualan Agro MADANI adalah bukti nyata komitmen Kerajaan MADANI dalam memelihara kesejahteraan rakyat, memperkukuh ekonomi usahawan serta memastikan keterjaminan makanan negara.
“Usaha ini bukan sahaja membantu rakyat berjimat, tetapi juga memperkasakan usahawan tani agar lebih berdaya saing dan bersedia menembusi pasaran eksport,” katanya.
Pelbagai tawaran istimewa turut disediakan kepada pengunjung termasuk Kombo MADANI, Jualan Happy Hour serta inisiatif penjimatan lain sepanjang karnival berlangsung.
Foong Hin memberitahu, karnival agro itu menyasarkan kehadiran seramai 25,000 pengunjung dengan potensi nilai jualan sebanyak RM500,000, selari dengan usaha berterusan kerajaan memastikan keseimbangan harga di pasaran melalui intervensi jualan bersasar.
“Pendekatan karnival ini menjadikannya bukan sekadar platform jualan, malah sebagai ruang interaksi sosial antara agensi kerajaan, usahawan dan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPKM melalui FAMA akan terus memperluas pelaksanaan Karnival Jualan Agro MADANI ke seluruh negara sebagai langkah proaktif menstabilkan harga barangan makanan, memperkasakan rantaian bekalan, meningkatkan pendapatan pengeluar serta menjamin kesejahteraan rakyat.


