POLIS menahan empat remaja bagi membantu siasatan susulan dakwaan kejadian buli membabitkan mangsa diikat dan disiksa menggunakan api di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, remaja berusia lingkungan belasan tahun itu kini dalam tahanan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Rabu ini.
Menurut beliau, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
“Kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan reman terhadap empat orang suspek dibenarkan selama empat hari.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis kelmarin dalam satu kenyataan media meminta mangsa serta saksi yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan kejadian buli di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee itu supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular dalam media sosial video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan berlaku perbuatan buli di lokasi berkenaan, membabitkan beberapa remaja disyaki berlaku jam 12.39 tengah malam.
Menerusi video CCTV berdurasi 23 saat itu kelihatan sekurang-kurangnya empat remaja lelaki melakukan kejadian itu ke atas mangsa yang disyaki juga remaja lelaki.
Kelihatan pantulan cahaya api dipercayai disembur ke arah mangsa yang terbaring dalam keadaan tangan terikat.


