Suami isteri maut motosikal bertembung Hilux di Pengkalan Hulu

SEPASANG suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 96.4 Jalan Kuala Kangsar–Pengkalan Hulu di Gerik petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, penunggang motosikal jenis Yamaha XMAX, Ahmad Mir Hakim Abdul Haziman, 38, dan isterinya, Nurul Alia Razak, 33, masing-masing bekerja di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

PASANGAN Ahmad Mir Hakim Abdul Haziman dan isterinya, Nurul Alia Razak yang maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 96.4 Jalan Kuala Kangsar–Pengkalan Hulu di Gerik petang ini. GAMBAR: Facebook pembaca

​​Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, siasatan awal mendapati sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 35 tahun bersama seorang penumpang sedang dalam perjalanan dari arah bertentangan.

​”Apabila sampai di tempat kejadian iaitu di hadapan sebuah kilang kertas, skuter yang dinaiki pasangan itu dipercayai telah masuk ke laluan Toyota Hilux tersebut lalu berlaku pertembungan.

KEADAAN kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa sepasang suami isteri yang menaiki motosikal di Kilometer 96.4 Jalan Kuala Kangsar–Pengkalan Hulu di Gerik petang ini. GAMBAR: Facebook pembaca

​”Pada masa sama, sebuah lagi motosikal jenis Yamaha XMAX ditunggang lelaki berusia 37 tahun bersama pembonceng wanita berusia 37 tahun yang berada di belakang motosikal pertama tidak sempat mengelak menyebabkannya terbabas sebelum terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Samad, kemalangan tersebut menyebabkan pasangan suami isteri yang menunggang motosikal pertama meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu Toyota Hilux pula mengalami kecederaan pada tangan kanan manakala penumpang kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara mangsa bagi motosikal kedua pula ​beliau berkata, penunggangnya dilaporkan mengalami patah tulang bahu kanan manakala pembonceng wanita pula patah paha kiri.

​Tambahnya, kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Daerah Gerik untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera kini menerima rawatan di hospital sama.

Kata beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img