PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua kerajaan negeri supaya mematuhi keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan berhubung isu pembinaan rumah ibadat secara haram, bagi memastikan keselamatan dan kematangan negara pada masa hadapan.
Beliau berkata, walaupun prinsip toleransi mempunyai nilai dan kelebihan tersendiri, ia tidak boleh diteruskan tanpa batas sehingga menjejaskan kedaulatan undang-undang serta kekuatan institusi negara.
“Negara ini tidak akan menjadi matang dan selamat sekiranya kita terus mengamalkan toleransi tanpa had. Toleransi memang ada kekuatannya, tetapi bukan sehingga merobek sendi dan kekuatan negara itu sendiri.
“Oleh sebab itu, dalam isu rumah ibadat, kuil dan seumpamanya, saya telah membuat keputusan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan turut menghubungi semua kerajaan negeri, termasuk negeri yang ditadbir pembangkang, supaya kita mengetepikan perbezaan politik. Kepimpinan Kerajaan MADANI telah membuat keputusan dengan dasar yang jelas, maka marilah kita bersama-sama melaksanakannya sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Dialog Sastera dan Budaya Antarabangsa Selangor (DASA 2026) di Dewan Pro-Canselor, Universiti Selangor (UNISEL), di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim; Pengerusi DASA merangkap Timbalan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Zainal Mohd Jais; tiga Sasterawan Negara iaitu Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Datuk Dr Zurinah Hassan; serta sejarawan tersohor Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria.
Perdana Menteri juga mengakui agak lewat memuktamadkan ketetapan mengenai pengurusan rumah ibadat di negara ini, selain tempoh lebih dua tahun diperuntukkan bagi melengkapkan perincian berkenaan.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada ketetapan (mengenai rumah ibadat) akhirnya di negara ini. Semua kaum dan agama mesti tunduk serta terima kenyataan yang Malaysia ini negara hukum.
“Mahu duduk di sini (Malaysia), ikut peraturan. Kalau betul kita anak Malaysia yang merdeka dan tunduk kepada prinsip negara hukum serta undang-undang, kenapa diberikan pengecualian?.
“Kalau mahu beribadat mesti ikut peraturan dan (tiada pengecualian diberikan) kerana kepentingan serta pertimbangan politik dan pilihan raya,” katanya.


