SELEPAS kecewa dengan operasi besar-besaran ke atas sindiket penyeludupan sisa elektronik (e-waste) di Pelabuhan Klang, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak menolak kemungkinan sindiket terbabit akan berpindah ke pelabuhan lain untuk meneruskan kegiatan mereka.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sindiket e-waste merupakan jenayah terancang.
“Mereka berniaga secara haram. Jadi, mesti nak ada untung.
“Tidak mustahil mereka akan mencari alternatif lain, itu lumrah biasa kepada sesiapa pun. AKPS percaya sindiket ini akan mengalihkan kegiatan mereka ke pelabuhan lain,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Barat di Klang hari ini.
Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar hadir membuat lawatan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan arahan Perdana Menteri bagi memperkukuh kawalan sempadan negara khususnya dalam membanteras pengimportan dan penyeludupan e-waste haram ke Malaysia.
Yang turut hadir, Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Mohd Shuhaily berkata, usia AKPS dianggap masih baharu, justeru pihaknya memerlukan bantuan agensi lain untuk turut membanteras kegiatan ini.
“AKPS baru setahun jagung dan kekuatan perisikan masih minimum. Kita masih lagi berharap kepada agensi teras untuk bantu dan kita dapat bantuan itu,” ujarnya.
Mengulas mengenai pengambilan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka menyertai AKPS, tambah Mohd Shuhaily, satu pertemuan beliau dengan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman diadakan hari ini.
Jelas beliau, dalam konteks itu AKPS akan melihat kepakaran masing-masing untuk ditempatkan di tempat tertentu.
“Di sini (pelabuhan) sudah tentu kita mungkin memerlukan tapi daripada sudut kerja yang bagaimana?. Sebab kita tahu mungkin pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sesuai di sini dan mereka lebih fasih perihal kapal dan sebagainya,” ujarnya.


