‘’Saham dibeli tahun lalu, dilupuskan pada tahun sama….semuanya telus…tiada apa disembunyikan’’ – Azam

KETUA  Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menjelaskan bahawa pegangan sahamnya sebelum ini dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan telah dilakukan secara telus dan mengikut peraturan.

Azam memberitahu New Straits Times bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan berhubung pegangan saham bernilai RM800,000 itu, sambil menegaskan bahawa urus niaga berkenaan telah diisytiharkan dengan sewajarnya.

“Saya telah membuat pengisytiharan mengenainya, termasuk sumber pendapatan saya melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam. Semuanya telus,” katanya.

Azam menjelaskan bahawa saham tersebut dibeli tahun lalu dan telah dilupuskan dalam tahun yang sama.

Beliau menyifatkan laporan yang mempersoalkan urus niaga itu sebagai berniat jahat dan mengelirukan, serta menambah bahawa beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang berikutan sifat fitnah laporan tersebut.

Terdahulu hari ini, sebuah portal berita melaporkan bahawa Azam disenaraikan sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, dengan merujuk kepada pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Artikel itu melaporkan bahawa pegangan saham tersebut didedahkan dalam pulangan tahunan Velocity Capital Bhd yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.

Berdasarkan harga saham syarikat itu pada penutupan dagangan Isnin, pegangan tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000.

Semakan pada portal web syarikat mendapati bahawa syarikat itu tersenarai di Bursa Malaysia dan sebelum ini terlibat dalam sektor pengangkutan, logistik serta pembuatan seramik.

Kini, syarikat berkenaan sedang beralih ke arah perkhidmatan kewangan, termasuk perniagaan pemberian pinjaman wang.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img