‘’Persepsi saya masih pegang saham tidak benar…sangat berniat jahat’’ – Azam Baki

“PERSEPSI bahawa saya masih memegang saham sehingga kini adalah tidak benar dan sangat berniat jahat. Setakat hari ini, saya tidak mempunyai satu unit pun saham dalam mana-mana syarikat. Akaun saya kosong. Saya tidak memiliki saham!’’.

Demikian ditegaskan  Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagi menjelaskan beliau tidak lagi memiliki sebarang saham dalam mana-mana syarikat sejak Julai tahun lalu.

Katanya, ini kerana beliau sudah menjual pegangan sahamnya dalam Velocity Capital Bhd pada Julai 2025 dan membuat pengisytiharan harta secara proaktif ketika itu.

Pada sesi khas bersama media hari ini, Azam berkata, beliau membuat pengisytiharan pegangan saham secara proaktif melalui sistem pengisytiharan harta kerajaan, jauh lebih awal daripada tempoh lima tahun yang ditetapkan di bawah peraturan perkhidmatan awam.

‘’Pengisytiharan itu dibuat melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) rasmi kerajaan dan dokumen berkenaan boleh dicapai pada bila-bila masa oleh pegawai yang diberi kuasa.

“Ia adalah sistem kerajaan. Sehingga kini, dalam masa sesaat, beliau (Ketua Setiausaha Negara) boleh mencetaknya (selepas menerima pengisytiharan itu),” katanya.

Mengenai saham melibatkan Velocity Capital Bhd, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, beliau sudah melupuskan saham itu dan tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada urus niaga berkenaan.

Beliau berkata, urus niaga saham tidak menyalahi undang-undang bagi penjawat awam, selagi tiada konflik kepentingan dan pengisytiharan dibuat dengan sewajarnya.

“Sebagai warganegara Malaysia, saya berhak membeli saham dan berdagang, selagi ia tidak menyalahi undang-undang. Saya juga menafikan dakwaan masih memegang saham dalam syarikat lain, termasuk tuduhan berkaitan Awan Biru. Saya tidak memiliki sebarang saham lagi, biar saya jelaskan sekali lagi, saya ada sifar saham,” katanya.

 Azam seterusnya mencabar pengkritik mengemukakan bukti jika percaya sebaliknya atau membuat laporan polis terhadapnya.

“Jika saya berbohong kepada anda, maka anda boleh buat laporan polis. Saya tidak memiliki satu unit pun,” katanya.

Dalam pertemuan itu juga, Azam turut menjelaskan, semua urus niaga saham sebelum ini dibiayai menggunakan simpanan peribadi, pencen dan ganjaran persaraan, bukan melalui pinjaman atau sumber luar.

“Bagi saya, saya sudah lebih daripada mencukupi. Pencen jangka panjang dan simpanan,” katanya.

Beliau berkata, pengisytiharan harta oleh penjawat awam kanan tertakluk kepada prosedur pentadbiran dalaman dan tidak wajib untuk didedahkan kepada umum serta menegaskan tidak ada peruntukan undang-undang yang mengikatnya untuk mengisytiharkan harta kepada orang awam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img