POLIS Pulau Pinang memberkas seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan merampas hampir 30 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM2.185 juta dalam serbuan di sebuah kondominium di Bukit Mertajam, semalam.
Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan dalam serbuan jam 4.25 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek ditahan ketika berada dalam sebuah kereta di kawasan parkir kondominium.
Katanya, susulan tangkapan itu, suspek membawa polis ke sebuah premis berhampiran dan pemeriksaan lanjut menemukan tiga beg kanvas berwarna mengandungi hampir 1,000 peket plastik dadah disyaki jenis MDMA, syabu dan pil ekstasi termasuk tiga unit tong putih dan empat unit botol plastik berpenutup mengandungi cecair disyaki syabu.
“Turut ditemukan peralatan dan perkakasan memproses rokok elektrik (vape) yang kesemuanya dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azizee, suspek juga mengaku menyimpan dadah di ruang khas dalam kenderaan miliknya.
“Susulan itu, pemeriksaan lanjut telah menemukan 1,800 foil aluminium warna merah dan perak berikat getah yang setiap satu foil terdapat 10 biji pil disyaki erimin 5 serta satu bungkusan plastik mengandungi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis ketamin.
“Kesemua dadah yang dirampas dalam operasi ini adalah 19,702.6 gram (g) syabu, 3,700.3g (serbuk MDMA), 5,181.8g (pil ekstasi) dan 980.5g (ketamin) bernilai RM2.185 juta yang mana jumlah rampasan dadah ini boleh digunakan kira-kira 100,000 orang penagih,” katanya.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah itu bergiat aktif sejak Oktober tahun lalu.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif tiga jenis dadah dan semakan mendapati dia mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


